KUALA LUMPUR 3 Jun — CapitaLand Malaysia Trust mencadangkan usaha pencarian dana secara persendirian bagi mengumpul sebanyak RM250 juta, untuk tujuan pembayaran balik pelbagai pinjaman bank.
Langkah itu melibatkan pengeluaran 435.4 juta unit baharu, atau kira-kira 14.9 peratus daripada jumlah terbitan sahamnya yang akan ditawarkan kepada para penaja dan beberapa pelabur institusinya.
Ini termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dengan harga terbitan akhir akan dimuktamadkan Capitaland melalui proses ditetapkan kemudian.
"Ia dijangka meningkatkan hasil kasar hingga RM250 juta," kata CIMB Investment Bank selaku penasihat utama CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd yang menguruskan CapitaLand, dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Usaha penempatan persendirian itu dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
Sehingga 20 Mei 2025, pinjaman CapitaLand berjumlah RM2.2 bilion dengan ia melaksanakan hampir RM400 juta dalam menyiapkan pemerolehan aset perindustrian dan logistik, yang kebanyakannya dibiayai melalui hutang.
Daripada jumlah hasil yang diperoleh, sebanyak RM246.1 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman, manakala RM3.9 juta bakal diperuntukkan untuk anggaran perbelanjaan yang berkaitan penempatan.
"Cadangan ini sejajar strategi pengurusan modal berhemat pengurus untuk mengoptimumkan nisbah pembiayaan, menyediakan ruang utama kewangan bagi pemerolehan masa depan sambil mengekalkan kunci kira-kira," katanya.
Selepas langkah tersebut, kadar penggearan CapitaLand dijangka berkurangan kepada 39.6 peratus daripada 41.3 peratus direkodkan pada akhir Disember 2024.
Portfolionya ketika ini terdiri daripada enam pusat beli-belah runcit dan dua aset logistik dengan gabungan keluasan boleh sewa bersih berkeluasan 0.4 juta meter persegi.
Aset runcitnya termasuk Gurney Plaza dan Queensbay Mall di Pulau Pinang, Sungei Wang Plaza, 3 Damansara, dan The Mines di Lembah Klang, dan East Coast Mall di Kuantan, Pahang.
Sementara aset logistik tersebut ialah Hab Logistik Valdor di Pulau Pinang dan Pusat Pengedaran Glenmarie di Shah Alam, Selangor.
Mengenai cadangan itu, penajanya iaitu CapitaLand Mall Asia Ltd CMMT Investment Ltd (CIL) dan Menang Investment Ltd (MIL), yang secara kolektif memegang 40 peratus kepentingan, boleh melanggan sehingga 174.2 juta unit.
Ini untuk mengekalkan pegangan semasa mereka manakala pelabur institusi seperti KWSP, KWAP dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga boleh diperuntukkan sehingga 292.14 juta unit setiap satu.
Sehingga 20 Mei 2025, KWSP memegang 15.4 peratus kepentingan dalam CapitaLand, diikuti oleh KWAP dengan 10 peratus dan ASB dengan 8.1 peratus. - DagangNews.com








