Capital A teroka potensi tubuhkan syarikat penerbangan di Bahrain sebagai hab Asia Barat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A teroka potensi tubuhkan syarikat penerbangan di Bahrain sebagai hab Asia Barat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 4 Nov – Capital A Bhd sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah syarikat penerbangan berpusat di Bahrain yang akan mengendalikan pesawat badan sempit (narrowbody) ke destinasi utama di Asia Barat, Asia Tengah, Afrika dan Eropah.

 

Langkah ini merupakan sebahagian daripada rancangan pengembangan kumpulan ke rantau Asia Barat, yang dimulakan dengan pemeteraian Letter of Intent (LOI) antara Capital A dan Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi Bahrain bagi meneroka potensi menjadikan Bahrain sebagai hab Asia Barat bagi AirAsia.

 

LOI tersebut menetapkan rangka kerja bagi kerjasama mendalam dalam bidang penerbangan dan ekonomi antara kedua-dua pihak, meliputi operasi syarikat penerbangan, kargo dan logistik, penyelenggaraan pesawat serta inisiatif pembangunan bakat.

 

Di bawah LOI itu, AirAsia akan meneroka pelancaran penerbangan dari Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia ke Bahrain dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan sambungan terus ke Eropah dan Amerika Syarikat.


 

solar
Tony Fernandez dan Dr Shaikh Abdulla Ahmed Al Khalifa pada majlis pemeteraian LOI

 


Menjelang 2030, AirAsia menyasarkan untuk mengendalikan lebih 25 penerbangan harian melalui Bahrain, membawa lebih 20 juta penumpang dan menyumbang kira-kira BHD3 bilion (AS$8 bilion) kepada ekonomi Bahrain.

 

Pengembangan ini dijangka menyokong lebih 100,000 peluang pekerjaan, termasuk 1,000 pengambilan baharu pada tahun pertama menerusi program pembangunan bakat pelbagai tahun.

 

Kerjasama ini turut merangkumi anak syarikat bukan penerbangan di bawah Capital A.

 

Unit penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kumpulan, Asia Digital Engineering (ADE), merancang untuk membina fasiliti berteknologi tinggi di Bahrain bagi menyelenggara pesawat badan sempit dan badan lebar, manakala unit logistik Teleport akan menjadikan Bahrain sebagai pintu masuk utama di luar Asia dengan pesawat kargo khusus bagi memperluas rangkaian ke seluruh Asia Barat, Eropah dan Afrika.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata kerjasama ini menandakan permulaan kepada “jambatan jangka panjang” antara ASEAN dan Asia Barat.

 

“Kerjasama ini adalah pemangkin perubahan,” kata Fernandes dalam kenyataan pada Isnin. “Dengan penyusunan semula operasi penerbangan kami yang bakal selesai tidak lama lagi, Capital A dan AirAsia kini bersedia melangkah ke bab baharu pertumbuhan global yang lebih berani dan berimpak, dan Bahrain akan menjadi landasan pelancaran strategik kami di Asia Barat.”

 

Menteri Pengangkutan dan Telekomunikasi Bahrain, Dr Shaikh Abdulla Ahmed Al Khalifa, berkata kerjasama itu akan memperkukuh peranan negara tersebut sebagai hab pelancongan dan logistik selaras dengan Economic Vision 2030 Bahrain.

 

“Ia mengukuhkan kedudukan Bahrain sebagai penghubung strategik yang menghubungkan Asia, Asia Barat, Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat,” katanya sambil menambah bahawa kerjasama ini turut akan mewujudkan pekerjaan khusus untuk tenaga kerja tempatan yang berpendidikan tinggi.

 

Capital A kini dalam proses keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang Disember, selepas mencatat kemajuan dalam penyatuan operasinya di bawah AirAsia X Bhd (AAX). Semua syarat bagi penyusunan semula sektor penerbangan telah dipenuhi atau diketepikan, membolehkan kumpulan itu meneruskan langkah akhir pelan pemulihan korporatnya.

 

Penyatuan yang diumumkan pada April 2024 itu menyatukan semua pengendali penerbangan jarak dekat dan sederhana AirAsia di bawah satu entiti tersenarai.

 

Selepas proses itu selesai, perniagaan penerbangan akan berada di bawah AAX (yang bakal dinamakan semula sebagai AirAsia Group), manakala Capital A akan mengekalkan perniagaan bukan penerbangan termasuk ADE, Teleport, AirAsia Move, BigPay, abc dan Santan. - DagangNews.com