Capital A, KTMB meterai MoU rintis model pengangkutan bersepadu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A, KTMB meterai MoU rintis model pengangkutan bersepadu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai - Capital A Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat pengendali kereta api nasional, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk menjalin kerjasama strategik dalam memperkukuh integrasi perkhidmatan bersepadu di seluruh negara.

 

Capital A berkata, MoU itu bertujuan membentuk ekosistem moden yang menggabungkan kekuatan rangkaian rel KTMB dan portfolio perniagaan Capital A, termasuk Teleport (logistik), Santan (makanan & minuman), AirAsia MOVE serta AirAsia Rewards.

 

“Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terperinci untuk menilai potensi komersial dan operasi dalam bidang-bidang yang telah dikenal pasti.

 

“Antara inisiatif yang sedang dipertimbangkan termasuklah pakej perjalanan gabungan penerbangan dan kereta api, perkhidmatan ulang-alik ke Lapangan Terbang Senai, integrasi rangkaian kargo antara Teleport dan KTMB Kargo serta penyediaan perkhidmatan katering dalam tren menerusi jenama Santan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Selain itu, pengguna juga akan menikmati pertukaran mata ganjaran antara Rail Points dan AirAsia Rewards serta cadangan penggunaan BigPay sebagai platform pembayaran pilihan.

 

Capital A berkata tempoh MoU itu adalah selama 12 bulan bagi membolehkan kedua-dua pihak memuktamadkan perjanjian rasmi atau dilanjutkan mengikut persetujuan bersama secara bertulis.

 

KTMB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan), mengendalikan perkhidmatan pengangkutan rel merentasi Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura di bawah lesen Kementerian Pengangkutan.- DagangNews.com