KUALA LUMPUR 3 Mac - Para penganalisis mengekalkan saranan 'beli' terhadap syarikat penerbangan, Capital A Bhd, dengan andaian ia akan mengalami pemulihan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, walaupun diramal menghadapi kesukaran jangka pendek, pihaknya tetap mengekalkan saranan 'beli' terhadap syarikat tersebut.
"Kami percaya Capital A akan pulih, didorong permintaan perjalanan udara yang kukuh di rantau ini.
"Kami menjangka potensi kenaikan lebih lanjut terhadap harga sasaran kami sekiranya pelan regularisasi PN17 berjaya dilaksanakan," katanya dalam satu laporan.
Harga sasaran yang ditetapkan adalah RM1.68, berdasarkan penilaian tersirat sebanyak RM6.8 bilion untuk perniagaan penerbangan dan anggaran RM2.15 bilion untuk segmen bukan penerbangan.
Pada pemerhatian terakhir, saham syarikat berkenaan berada pada 81.5 sen sesaham.
HLIB menyatakan, Capital A mencatatkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM20.9 juta pada suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024 (4QFY24).
Namun, rekod itu kurang daripada jangkaan HLIB, terutamanya disebabkan oleh kadar penggunaan armada yang lebih rendah kerana kumpulan masih terkesan akibat pesawat yang tidak aktif, menyebabkan kos lebih tinggi.
HLIB berkata, permintaan perjalanan udara kekal kukuh dengan pihak pengurusan Capital A memberi tumpuan kepada pasaran China dan India.
Katanya, kumpulan berkenaan sedang berusaha keras untuk mengaktifkan semula 17 pesawat yang masih tidak beroperasi menjelang pertengahan tahun 2025, dan pada masa yang sama, mereka juga akan menerima pesawat-pesawat baharu.
Selain itu, tambang purata dijangka kekal pada tahap yang stabil sekitar RM240.
"Segmen tersebut juga dijangka mendapat manfaat daripada pengukuhan ringgit dan penurunan kos bahan api jet pada 2025, manakala penstrukturan semula hutang untuk mengurangkan kos pembiayaan juga akan membantu," tambah HLIB.
Jelasnya, penjualan perniagaan penerbangan kepada AirAsia X Bhd masih menunggu kelulusan mahkamah dan transaksi itu dijangka selesai pada 2QFY25, yang membolehkan kumpulan keluar daripada status PN17 selepas latihan penjualan, bersama-sama dengan kelulusan pemegang saham dan mahkamah.
Public Investment Research pula berkata, walaupun keputusan syarikat penerbangan berkenaan gagal memenuhi ramalan penganalisis, ia masih mengekalkan jangkaan prospek yang lebih kukuh pada masa hadapan.
Katanya, ia disokong oleh pengukuhan ringgit, penurunan harga bahan api jet dan permintaan perjalanan udara yang kukuh.
"Dengan pelan penstrukturan semula kumpulan yang menyediakan pelan pemulihan operasi yang jelas, kami percaya Capital A berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan perjalanan serantau yang semakin berkembang.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan untuk membeli saham Capital A, dengan jangkaan prestasi yang lebih baik daripada pasaran (outperform), pada RM1.57," katanya. - DagangNews.com








