Pencarian helikopter utiliti untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) masih terbuka berikutan tender perolehan secara sewaan 4 buah pesawat masih dibuka Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Sepertimana diketahui, sejak ketiadaan pesawat Nuri, Tentera Darat Malaysia tidak mempunyai helikopter utiliti untuk tugasan mengangkut anggota tentera ke barisan hadapan selain membawa bekalan.
Helikopter utiliti sangat penting kepada Tentera Darat Malaysia yang mana sebahagian besar operasi masih lagi melibatkan unit-unit infantri di sempadan selain perbatasan negara yang luas.
Bagaimana pun, penilaian yang lebih rapi dilakukan termasuk mengambil kira teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sepertimana dijelaskan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, keperluan untuk mendapatkan helikopter tersebut secara sewaan masih ada.
Menurut beliau, tender baharu ini selepas kontrak sewaan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk dibatalkan berikutan kegagalan syarikat terdahulu untuk memenuhi tempoh penghantaran ditetapkan.
Jenis helikopter berkenaan juga masih belum diputuskan dan akan bergantung kepada syarikat yang mengemukakan tawaran tender tersebut.
Proses tender dijangka ditutup pada hujung bulan September dengan penilaian turut merangkumi aspek teknikal serta tempoh hayat helikopter.
Minggu lalu, Sultan Ibrahim bertitah agar MINDEF membatalkan cadangan pembelian helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk lama yang telah berusia 30 tahun serta mengingatkan kementerian agar tidak mengulangi kesilapan lalu.


Dalam meneliti pertimbangan yang sesuai, satu aspek penting mesti ada pada calon helikopter Tentera Darat Malaysia ialah keupayaan winching dan underslung bagi memenuhi keperluan operasi tempur serta misi Combat Search and Rescue (CSAR).
Helikopter baharu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ini perlu dilengkapi dengan ciri-ciri sedemikian sepertimana keupayaan sama pada pesawat Nuri yang menjadi kuda udara.
Sebab itu keputusan tindakan MINDEF membuka semula tender 4 helikopter utiliti saiz sederhana ini tepat kerana kelompongan aset selepas khidmat Nuri ditamatkan 6 tahun lalu.
Jika dilihat sejak ketiadaan Nuri, jarang dilihat helikopter sedia ada ATM melakukan operasi mengangkut beban secara underslug misalnya membawa meriam semasa latihan.
Bagaimana pun, keupayaan ini ada pada helikopter EC725AP TUDM, cuma pesawat tersebut lebih khusus untuk membantu operasi tentera udara.


Selain EC725AP atau versi baharunya Airbus H225M, keupayaan winching dan underslung ada pada helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk yang menjadi idaman PUTD.
Selain dua helikopter ini, ada lagi beberapa jenis pesawat yang setanding seperti Mi-17 V5 iaitu varian terbaharu dalam keluarga Mi-17, Chinook, NH 90 dan KAI Surion.
Berbanding yang lain, negara mempunyai pengalaman mengoperasikan helikopter Mi-17 iaitu jenis sama yang digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Helikopter Mi-17 memang diakui sebagai lasak dan dikategorikan sebagai terbukti dalam medan perang kerana telah digunakan banyak negara di dunia.
Mi-17 merupakan pesaing kepada Sikorsky UH-60 Black Hawk jika diukur daripada segi penglibatan dalam peperangan dan konflik.


Cuma sekiranya dilihat dalam konteks semasa, 2 jenis helikopter yang dilihat sesuai bagi ATM iaitu H225M dan Sikorsky UH-60 Black Hawk.
Bagi Sikorsky UH-60 Black Hawk pula, Tentera Darat Malaysia kerap melakukan latihan menggunakan pesawat ini bersama tentera negara sahabat.
Terbaru, dalam latihan Keris Strike 2025 bersama Tentera Amerika Syarikat dan Tentera Australia membuktikan keupayaan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk mengangkut meriam secara underslung.
Helikopter tersebut juga melaksanakan tindakan winching anggota tercedera dalam simulasi pertempuran.



Pesawat ini adalah menepati kehendak dan keperluan operasi harian PUTD.
TUDM pula telah menggunakan 12 buah helikopter EC725AP (H225M) sejak tahun 2012, mengumpul lebih 30,000 jam penerbangan sehingga 2024.
Rekod tertinggi di Asia Pasifik bagi sesebuah pasukan yang mengendalikan helikopter tersebut adalah mengkagumkan.
Menggunakan helikopter jenis serupa mempunyai banyak kelebihan terutamanya dalam aspek penyelenggaraan, logistik dan operasi. - DagangNews.com








