Caj penghantaran lebih rendah punca hasil FM Global jatuh 4% kepada RM217 juta bagi 3QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caj penghantaran lebih rendah punca hasil FM Global jatuh 4% kepada RM217 juta bagi 3QFY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 MeiFM Global Logistics Holdings Berhad mencatatkan penurunan pendapatan kira-kira 4% kepada sebanyak RM216.6 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Mac 2026 (3QFY26).

 

Hasil tersebut merosot berbanding RM225.5 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan yang sebelumnya, dipengaruhi terutama oleh faktor kadar caj penghantaran adalah lebih rendah di pasaran.


Meskipun pendapatan menyusut, kumpulan logistik itu berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 4% kepada RM8.18 juta, daripada RM7.84 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu. 


"Kenaikan untung selepas cukai (PAT) ini disokong oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah iaitu hanya RM2.99 juta berbanding RM3.6 juta," kata FM Global dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan berkenaan namun didapati susut sedikit kira-kira 2% kepada sebanyak RM11.2 juta akibat faktor kerugian kemerosotan nilai ke atas belum terima dagangan.


Sekiranya mengikut pecahan perkhidmatan, segmen fret atau penghantaran barangan antarabangsa didapati menyumbang sekitar RM163.5 juta manakala logistik domestik pula mencatatkan RM53.1 juta.


Ujar FM Global, bagi tempoh kumulatif sembilan bulan (9MFY26), ia melaporkan PAT RM27.74 juta, naik 5% daripada RM26.41 juta sebelumnya, di sebalik penurunan hasil 5% kepada RM683.34 juta.


"Lembaga Pengarah kumpulan ini turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, yang akan dibayar pada 30 Jun 2026," tambahnya lagi. 


Mengenai prospek masa depan, syarikat itu kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasinya bagi baki tahun kewangan 2026, dengan terus memberi tumpuan kepada perluasan pangkalan pelanggan.


FM Global turut melaksanakan peningkatan kecekapan operasi, dan pengukuhan inisiatif pengurusan kos bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi serta persaingan kadar tambang. - DagangNews.com