KUALA LUMPUR 4 Mac – Cadangan Mi Technovation Berhad menyenaraikan anak syarikat perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) kumpulan itu di bursa Singapura (SGX) berisiko mencairkan keuntungan.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), langkah penyenaraian di Papan Utama pasaran modal negara itu kemungkinan besar bakal mewujudkan jurang penilaian antara entiti induk dan subsidiari.
Walaupun langkah itu dilihat mampu membuka nilai aset dan menjana modal baharu, firma penyelidikan tersebut menegaskan maklumat berkaitan cadangan penyenaraian masih di peringkat awal dan terhad.
"Kami menjangkakan Accurus Taiwan akan menjadi anak syarikat Mi Technovation yang paling tinggi disenaraikan, memandangkan ia menyumbang lebih 90% kepada keuntungan SMBU," kata firma tersebut.
Subsidiari berkenaan jelas PublicInvest, turut menempatkan sebahagian besar pengeluaran produk 'solder ball' berteknologi yang dipatenkan kumpulan pembuatan peralatan semikonduktor itu.
Justeru, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada RM4.35, berdasarkan gandaan 33 kali pendapatan sesaham (EPS) FY26.
SMBU yang beroperasi di bawah jenama Accurus Scientific menyumbang sekitar 45% hingga 55% kepada keuntungan kumpulan, dengan operasi pengeluaran terletak di Tainan, Taiwan dan Ningbo, China.
"Kilang di Taiwan ada 20 barisan pengeluaran dan beroperasi pada kadar penggunaan kapasiti tinggi, manakala fasiliti Ningbo dengan enam barisan masih di bawah 70% penggunaan," kata PublicInvest.
Accurus Scientific disenaraikan antara lima pembekal 'solder ball' terbesar dunia, yang bersaing sengit dengan SMIC Senju Metal, Jepun; Shenmao Technology, Taiwan; dan MK Electron, Korea Selatan.
Perniagaan ini bergantung kepada pengeluaran cip global dan memiliki halangan kemasukan tinggi susulan isu paten, dengan caj tambahan dipindahkan kepada pelanggan jika berlaku kenaikan kos.
'Solder ball' merupakan komponen kritikal yang berfungsi sebagai antara muka elektrik dan mekanikal bagi cip semikonduktor dan papan litar bercetak serta dalam konfigurasi pembungkusan cip bertindan.
"Bagaimanapun, kami berpandangan tiada penanda aras yang tepat bagi penilaian industri 'solder ball' kerana kebanyakan pesaing serantau tidak tersenarai," tambah firma penyelidikan tersebut.
Malah, PublicInvest berpendapat penilaian sektor teknologi di Singapura lazimnya kurang menarik berbanding Malaysia, serta boleh menjejaskan potensi nilai yang ingin dibuka melalui penyenaraian.
Walaupun entiti yang dicadangkan itu akan kekal sebagai subsidiari kepada Mi Technovation, sebarang penyenaraian secara berasingan dijangka memberi kesan kepada pencairan pendapatan kepada kumpulan.
Secara keseluruhan, ia melihat langkah ini sebagai strategi jangka panjang pengukuhan modal, namun risiko ketidaktentuan penilaian kekal faktor utama yang perlu diperhatikan pelabur. - DagangNews.com








