Cadangan kerjasama Malaysia-Singapore Airlines dinilai secara bebas - MAVCOM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan kerjasama Malaysia-Singapore Airlines dinilai secara bebas - MAVCOM

KUALA LUMPUR 14 Julai – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan menjalankan penilaian bebas terhadap cadangan kerjasama perniagaan antara Malaysia Airlines dan Singapore Airlines, walaupun sudah menerima kelulusan bersyarat dari Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS).

 

Pengawal selia industri penerbangan Malaysia itu memaklumkan penilaian tetap diteruskan walaupun CCCS telah membuat keputusan bersyarat.

 

"Mavcom akan menilai permohonan ini secara bebas mengikut garis panduan dan prosedurnya sendiri seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771],” kata jurucakap Mavcom, lapor Business Times.

 

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines juga mengesahkan perbincangan sedang dijalankan dengan Singapore Airlines bagi menjalin satu bentuk kerjasama perniagaan.

 

MAG memaklumkan pihaknya komited terhadap pematuhan peraturan sepanjang proses penilaian.

 

“Cadangan ini telah menerima kelulusan bersyarat daripada CCCS dan masih tertakluk kepada kelulusan daripada pengawal selia di Malaysia. 

 

“Malaysia Airlines kekal komited untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan peraturan sepanjang proses ini,” kata jurucakap MAG, lapor Business Times.

 

Menurut MAG, kerjasama perniagaan yang dicadangkan itu bertujuan memperluaskan jaringan penerbangan kedua-dua negara serta memberi lebih nilai kepada penumpang.

 

Bagaimanapun, tiada tempoh masa khusus diberikan oleh Mavcom atau MAG mengenai kelulusan kerjasama tersebut. 

 

Ketika ini, Malaysia mempunyai dua badan pengawal selia penerbangan iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Mavcom.

 

Namun, menjelang 1 Ogos, CAAM bakal mengambil alih peranan Mavcom susulan penyatuan kedua-dua entity tersebut yang akan menjadikan CAAM sebagai satu-satunya badan pengawal selia penerbangan di Malaysia.

 

Malaysia Airlines dan Singapore Airlines bercadang untuk bekerjasama dalam beberapa aspek perniagaan seperti penyusunan jadual, penetapan harga, jualan dan pemasaran serta perluasan perkongsian kod penerbangan.

 

CCCS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah meluluskan kerjasama tersebut pada 7 Julai lalu tertakluk kepada beberapa komitmen yang dipersetujui.

 

Permohonan rasmi telah diterima oleh CCCS pada 24 Mac 2023 bagi menilai kesan cadangan kerjasama tersebut berdasarkan Akta Persaingan Singapura 2004.

 

Susulan itu, satu penyerahan tambahan dibuat pada 3 November 2023 bagi memperincikan skop kerjasama hanya melibatkan penerbangan penuh perkhidmatan iaitu Malaysia Airlines dan Singapore Airlines yang menjelaskan ia tidak termasuk syarikat penerbangan tambang rendah masing-masing, Firefly Sdn Bhd dan Scoot Tigerair Private Limited.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CCCS, Alvin Koh berkata, kerjasama tersebut dijangka dapat menawarkan lebih banyak pilihan sambungan penerbangan kepada pengguna serta memberi fleksibiliti kepada syarikat penerbangan untuk bertindak balas terhadap perkembangan pasaran.

 

Beliau menambah bahawa laluan penerbangan antara Singapura dan Kuala Lumpur akan menyaksikan peningkatan dalam bilangan penerbangan dan pilihan harga yang lebih kompetitif bagi pengguna dalam jangka panjang.

 

“CCCS akan terus memantau perkembangan dalam sektor ini bagi memastikan persaingan dapat memberikan hasil yang baik kepada pengguna,” katanya.- DagangNews.com