Cadangan kenaikan tarif elektrik boleh beri kesan serta-merta kepada margin pembinaan, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan kenaikan tarif elektrik boleh beri kesan serta-merta kepada margin pembinaan, kata CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — Peningkatan 25 peratus dalam tarif import keluli dan aluminium oleh Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan tidak menyebabkan perubahan harga yang ketara untuk bahan binaan domestik.
 

Bagaimanapun, keadaan boleh bertukar sebaliknya jika rancangan kenaikan tarif elektrik domestik pada Julai 2025 yang dijangka menjejaskan margin pembinaan serta-merta, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
 

Firma penyelidikan itu mengaitkan situasi tersebut dengan jangkaan kenaikan kos input bahan binaan utama — termasuk rebar, rod wayar dan produk pengacuanan aluminium pada separuh kedua 2025 (2H25).
 

"Dalam jangka sederhana hingga panjang, kami menjangkakan rantaian bekalan pembinaan tempatan akan meneruskan kos input tambahan melalui penetapan harga semula kontrak mereka," katanya dalam kenyataan.
 

CIMB Securities juga menyatakan bahawa prestasi pendapatan sektor pembinaan tempatan adalah kekal lemah pada suku keempat 2024 (4Q24).
 

Antara syarikat pembinaan yang melaporkan keputusan perniagaan pada Februari 2025, syarikat berprestasi rendah didapati mengatasi syarikat berprestasi dengan tiga berbanding satu.
 

Misalnya ia berkata, keputusan tahun kewangan sembilan bulan 2025 oleh IJM Corporation Bhd (9MFY3/25) sebahagian besarnya selaras dengan jangkaan, mencapai 75 peratus daripada ramalan setahun penuhnya.
 

"Secara keseluruhan, kami mengaitkan kelembapan trajektori pendapatan sektor pembinaan berpunca daripada kelewatan dalam pelancaran beberapa projek infrastruktur utama pada separuh kedua 2024 dan bil projek berkurangan," tambahnya.
 

Bagaimanapun CIMB Securities berkata aktiviti tender dan aliran pesanan telah bertambah kukuh sejak awal 2025, yang dipacu oleh projek LRT Pulau Pinang dan terbaharu pula ialah LRT3 Fasa 2.
 

Perkembangan positif ini dijangka menyokong kitaran pendapatan yang lebih kukuh bagi tahun kewangan 2025 dan 2026.
 

Justeru firma penyelidikan tersebut mengekalkan pendirian 'berat berlebihan' terhadap sektor pembinaan. - DagangNews.com