KUALA LUMPUR 26 Mac - CAB Cakaran Corporation Berhad membuka pasar raya bersaiz sederhana ke-15 miliknya, Home Mart Fresh & Frozen Sdn Bhd, di Sri Rambai, Pulau Pinang selain merancang 100 cawangan baharu menjelang 10 tahun lagi.
Ketika ini, kumpulan tersebut sudah memiliki lapan cawangan Home Mart dimiliki sepenuhnya oleh CAB Cakaran dan sebanyak tujuh cawangan Pasaraya Jaya Gading Sdn Bhd yang berada di bawah kawalan 58.02 peratus syarikat berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, CAB Cakaran merancang untuk membuka lima hingga tujuh lagi cawangan Home Mart sepanjang tahun ini, yang bergantung kepada kejayaan mendapatkan lokasi bersesuaian.
"Kesemua 15 cawangan kami terletak di Pahang, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan sebahagian besar berada dalam dua hingga tiga lot kedai bagi menampung kemudahan bilik sejuk serta barangan segar," katanya dalam kenyataan.
CAB Cakaran mula menceburi perniagaan pasar raya pada 2010 untuk memenuhi permintaan di kawasan luar bandar, kerana masalah akses kepada makanan segar berkualiti dan pengalaman membeli-belah yang selesa masih terhad.
Beliau menambah, strategi jangka panjang kumpulan adalah membina rangkaian luas di seluruh Semenanjung Malaysia sebagai salah satu saluran pengedaran produk dan mampu menjual kira-kira 200 ekor ayam sehari bagi setiap cawangan.
“Kami melihat pemilikan cawangan runcit ini sebagai langkah berkesan mengukuhkan kehadiran dalam industri makanan malah matlamat jangka panjang adalah membuka 50 hingga 100 cawangan baharu bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.
CAB Cakaran yang merupakan salah satu pengeluar makanan terbesar di Malaysia, baru-baru ini mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM33.89 juta dengan pendapatan berjumlah RM593.61 juta bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2024 (1QFY25). - DagangNews.com








