BYD Malaysia lantik Jacob Ma sebagai Pengarah Urusan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BYD Malaysia lantik Jacob Ma sebagai Pengarah Urusan baharu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Mac - BYD Malaysia mengumumkan peralihan kepimpinan strategik apabila Jacob Ma dilantik sebagai Pengarah Urusan baharu, menggantikan Eagle Zhao yang kini memberi tumpuan penuh kepada peranannya sebagai Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia.

 

Dalam kenyataan syarikat itu berkata, pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kumpulan dalam memperkukuh barisan kepimpinan serantau, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan utama di Asia Tenggara.

 

Sepanjang menerajui operasi di Malaysia, Eagle Zhao memainkan peranan penting dalam membina kehadiran kukuh BYD, termasuk memacu jualan lebih 30,000 kenderaan BYD dan DENZA di seluruh negara.

 

Beliau turut memperluas rangkaian pengedar, memperkukuh keupayaan selepas jualan serta mempercepatkan penerimaan kenderaan tenaga baharu (EV), sekali gus meletakkan BYD sebagai antara jenama EV paling pesat berkembang di Malaysia.

 

“Malaysia merupakan antara fasa paling penting dalam perjalanan saya bersama BYD. Bersama rakan kongsi dan pasukan, kami telah membina asas kukuh untuk kedua-dua jenama BYD dan DENZA,” katanya.

 

Sementara itu, kehadiran Jacob Ma bakal membawa pengalaman global luas dari ibu pejabat BYD di Shenzhen, China.

 

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Latihan di ibu pejabat BYD selama lima tahun dan kemudian sebagai Naib Presiden BYD Indonesia selama dua tahun, dengan penglibatan dalam pembangunan program kesiapsiagaan pasaran antarabangsa serta pengukuhan standard kecemerlangan runcit.

 

Beliau juga mempunyai pengalaman awal sebagai perunding serta dalam industri penerbangan, khususnya dalam inisiatif pemindahan teknologi, sekali gus memberikan asas kukuh dalam kolaborasi rentas industri dan transformasi operasi.

 

“Malaysia kekal sebagai pasaran strategik bagi kumpulan dan kami komited untuk menawarkan produk inovatif serta pengalaman pemilikan yang menyeluruh kepada pelanggan,” katanya.

 

Sebagai Pengarah Urusan, Jacob akan menyelia strategi perniagaan keseluruhan, termasuk jualan, pemasaran, pembangunan rangkaian serta operasi selepas jualan bagi jenama BYD dan DENZA.

 

Fokus beliau adalah untuk memperkukuh kerjasama pengedar, mengembangkan portfolio produk serta meningkatkan pembezaan jenama antara BYD dan DENZA bagi memacu daya saing jangka panjang. - DagangNews.com