BYD dijangka lonjak nilai KLK TechPark dengan KLK diunjur raih untung RM65 juta daripada jualan tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BYD dijangka lonjak nilai KLK TechPark dengan KLK diunjur raih untung RM65 juta daripada jualan tanah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bersedia meraih pulangan lumayan menerusi projek mega KLK TechPark seluas 607 hektar ekar di Tanjong Malim, Perak, apabila sebahagian tanah estet yang telah dipegang hampir setengah abad mula dibuka nilai secara berperingkat.

 

Firma penyelidikan Maybank Investment Bank yakin projek ini bakal menjadi pemacu baharu syarikat, khususnya selepas jualan tanah 60 hektar ekar kepada BYD – pengeluar kenderaan elektrik (EV) terkemuka dari China.

 

Maybank IB menjangkakan jualan tanah kepada BYD itu mampu menjana keuntungan melebihi RM65 juta dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.

 

Unjuran ini dibuat berdasarkan margin keuntungan bersih konservatif hanya sekitar RM10 sekaki persegi, menjadikan potensi upside jauh lebih tinggi sekiranya pasaran industri di Tanjong Malim melonjak.

 

Menurut firm itu setakat ini, tiada perubahan dibuat terhadap ramalan pendapatan KLK. Saham syarikat kekal dengan saranan HOLD pada harga sasaran RM19.70, bersandarkan 19 kali unjuran pendapatan FY25 – iaitu -0.5 sisihan piawai daripada purata enam tahun.

 

Maybank IB menjangkakan sebagai penyewa utama, BYD akan membina kilang pemasangan automotif pertamanya di Malaysia di KLK TechPark. 

 

Langkah ini bukan sekadar mengangkat imej projek, malah bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, mempercepat pemindahan teknologi dan membina ekosistem vendor sokongan industri EV di rantau ini.

 

Penganalisis menjangkakan harga jualan tanah untuk fasa seterusnya akan lebih tinggi memandangkan kehadiran BYD mampu menjadi ‘game-changer’. 

 

Data semasa menunjukkan tanah industri di Tanjong Malim kini berada dalam lingkungan RM22 hingga RM55 sekaki persegi, bergantung kepada saiz dan infrastruktur.

 

Dengan kejayaan Bandar Seri Coalfield di Lembah Klang sebagai bukti rekod cemerlang KLK dalam pembangunan hartanah, KLK TechPark dijangka menjadi enjin pertumbuhan baharu syarikat untuk dekad mendatang. - DagangNews.com

 

KLK Tech Park