KUALA LUMPUR 8 Ogos – Bursa Malaysia Securities Berhad hari ini mengeluarkan teguran awam terhadap MCOM Holdings Berhad atas kegagalan syarikat itu mematuhi Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP berkaitan pengumuman penyata kewangan audit tepat pada masanya.
Bursa Malaysia dalam kenyataan berkata, syarikat itu didapati melanggar peraturan kerana tidak mengumumkan penyata kewangan tahunan beraudit bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2024 — beserta maklumat berkaitan, laporan juruaudit dan laporan pengarah — pada atau sebelum tarikh akhir 31 Oktober 2024.
Sehingga kini, syarikat masih belum mengeluarkan penyata kewangan tersebut.
Sehubungan itu Bursa Malaysia mengarahkan Lembaga Pengarah MCOM untuk mengkaji dan menilai semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan syarikat, selain keberkesanan polisi dan prosedur pelaporan kewangan yang dilaksanakan.
Menurut Bursa Malaysia, teguran awam ini dikeluarkan di bawah Peraturan 8.12 LEAP LR selepas proses sewajarnya selesai. Ia penting bagi memastikan pasaran yang teratur dan adil, serta membantu pelabur membuat keputusan pelaburan secara bermaklumat.
Bursa Malaysia juga mengingatkan MCOM dan Lembaga Pengarahnya tentang tanggungjawab mengekalkan tahap tadbir urus korporat yang baik dan akauntabiliti kepada pemegang saham serta pelabur awam.
MCOM pula menjelaskan kelewatan itu berpunca daripada kekurangan kakitangan perakaunan berpengalaman akibat pertukaran pekerja yang tinggi dan peletakan jawatan juruaudit luar pada 29 Oktober 2024 berikutan yuran audit yang belum dibayar.
Bursa Malaysia menegaskan alasan tersebut tidak boleh diterima dan menekankan bahawa syarikat tersenarai mesti memastikan sumber dan dana mencukupi bagi penyediaan penyata kewangan.
Pengawal selia itu turut menyatakan MCOM gagal menunjukkan usaha munasabah, termasuk melunaskan yuran audit tertunggak, bagi membolehkan proses audit dan pengeluaran AFS 2024 dilaksanakan tepat pada masanya. - DagangNews.com








