KUALA LUMPUR 31 Okt - Bursa Malaysia Bhd memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi cadangan semakan semula yuran SC yang dikenakan ke atas Bursa, serta penyemakan yuran penyenaraian dan yuran berkaitan pengawalseliaan bagi penerbit tersenarai dan peserta pasaran yang dikenakan oleh bursa tersebut.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia menerima kelulusan berkenaan pada 30 Oktober 2025 di bawah Seksyen 9 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
“Kelulusan ini merangkumi yuran berkaitan penyenaraian bagi Pasaran Utama, ACE dan LEAP, serta yuran berkaitan pengawalseliaan.
"Pemberitahuan khusus akan dibuat kepada pihak berkepentingan yang berkenaan, dan semakan yuran ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya.
Bursa menjelaskan, yuran tambahan yang akan dikutip setiap tahun hasil semakan ini — terutamanya daripada yuran penyenaraian tahunan — dianggarkan antara RM28 juta hingga RM34 juta setahun.
Bursa turut menyatakan, peningkatan hasil kutipan yuran susulan semakan ini tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan Bursa, dengan mengambil kira yuran SC yang diumumkan pada 17 Oktober 2025.
“Ini merupakan semakan pertama terhadap yuran berkaitan pengawalseliaan sejak 2001 dan yuran penyenaraian sejak 2007.
“Penyemakan ini dibuat pada masa yang tepat dan wajar, mencerminkan pelaksanaan yuran SC baharu serta peningkatan kos pengawalseliaan, termasuk keperluan sumber manusia dan sistem, bagi menyokong peranan Bursa sebagai pengawal selia barisan hadapan dan pengendali pasaran,” tambah kenyataan itu. – Bernama








