Bursa Malaysia kenal pasti hanya Bina Puri terjejas dagangan tanpa kebenaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia kenal pasti hanya Bina Puri terjejas dagangan tanpa kebenaran

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 April — Bursa Malaysia Berhad mengenal pasti hanya Bina Puri Berhad dan Bina Puri-Waran B adalah satu-satunya kaunter pasaran yang terjejas oleh aktiviti dagangan saham tanpa kebenaran pada 24 April 2025.


Ia turut telah meminta firma pembrokeran untuk mengekalkan pemantauan sekurang-kurangnya dalam tempoh 14 hari, bagi memudahkan siasatan bursa berkenaan tetapi tidak mendedahkan senarai syarikat broker yang terjejas.


Bina Puri-Waran B, yang ditutup kepada 30 sen pada 23 April 2025 sebelum itu menyaksikan aktiviti dagangan luar biasa kira-kira pukul 3.15 petang tersebut, dengan meningkat dua kali ganda kepada 60 sen menjelang 3.30 petang. 


Paras itu kekal sehingga 4.15 petang, sebelum ditutup kepada 48.5 sen iaitu melonjak 61.7 peratus melibatkan 41.17 juta unit diniagakan, dengan 33.149 juta unit didapati telah diurus niaga ketika harga puncak 60 sen.


“Bursa Malaysia telah memulakan perbincangan dengan broker yang terjejas mengenai cara menguruskan dagangan pasaran tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan sebagai merujuk kes insiden pada tarikh tersebut. 


Sementara itu, ia turut mengeluarkan arahan pada 27 April 2025 kepada broker berkaitan dengan meminta segala hasil yang terjejas perlu disimpan dalam masa 14 hari, atau bila-bila waktu yang perlu, untuk memudahkan siasatan.

 

Artikel berkaitan: Godam: Bursa Malaysia sahkan isu terhad kepada beberapa broker dan akaun pelanggan sahaja


Bursa Malaysia juga menjelaskan, kerugian akibat daripada insiden akses tidak dibenarkan dan aktiviti perdagangan saham yang dilaksanakan pada 24 April 2025 sebagai telah dikenal pasti dan sudah pun dibendung.


“Insiden ini, melibatkan akaun dagangan pelanggan dalam talian yang diuruskan sebilangan kecil broker, kini telah dikenal pasti, dan langkah sudah diambil untuk mencegah kejadian selanjutnya berulang," katanya.


Dalam menangani kesannya, pengawal selia pasaran modal itu tegasnya, telah bekerjasama dengan industri untuk menyelesaikan impak dagangan yang tidak dibenarkan dengan cara adil dan telus.


Selain itu, Bursa Malaysia telah menasihati semua firma pembrokeran untuk mengukuhkan lagi tahap kawalan dalaman dan pertahanan siber mereka, sebagai antara langkah berjaga-jaga.


"Audit forensik pihak berkaitan akan dimulakan untuk menyiasat segala punca kejadian, dan menentukan bagaimana pelanggaran itu boleh berlaku," tambahnya.


Bursa Malaysia juga mengulangi, keteguhan dan keselamatan sistem perdagangan adalah utuh dengan pasaran modal tempatan kekal boleh diakses dan teratur untuk peserta. - DagangNews.com