Bursa Malaysia kenakan denda RM441,0000 serta teguran awam terhadap dua wakil pedagang akibat pelbagai salah laku | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia kenakan denda RM441,0000 serta teguran awam terhadap dua wakil pedagang akibat pelbagai salah laku

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis – Bursa Malaysia Securities Berhad membuat teguran secara terbuka dan mengenakan denda terhadap dua wakil pedagang berkomisen atas pelanggaran peraturan dan konflik kepentingan serta penglibatan dalam aktiviti dagangan manipulatif.

 

Dalam pengumuman rasmi yang diterbitkan hari ini, Bursa Malaysia Securities berkata, Chih Yi May dikenakan teguran awam, denda RM50,000 dan arahan untuk dikeluarkan daripada senarai Orang Berdaftar sekiranya masih berstatus berdaftar. 

 

Sementara itu, Kang Ai Na menerima teguran awam, denda RM391,000 dan arahan serupa untuk dikeluarkan daripada senarai Orang Berdaftar.

 

“CHIH yang merupakan wakil pedagang berkomisen di Maybank Investment Bank Berhad didapati gagal mendedahkan kedudukannya sebagai individu berkuasa bagi akaun entiti lain, sekaligus mewujudkan konflik kepentingan ketika mengurus akaun pelanggan MIBB.

 

“KANG, yang berkhidmat di Kenanga Investment Bank Berhad, tidak hanya gagal mengurus konflik kepentingan tetapi juga terlibat dalam aktiviti dagangan manipulatif melalui akaun pelanggannya. 

 

“Aktiviti ini termasuk cross trading, manipulasi buku pesanan dan penipuan harga saham melibatkan empat syarikat iaitu Dataprep Holdings Berhad, Hextar Industries Berhad, Kejuruteraan Asastera Berhad dan Bintai Kinden Corporation Berhad,” kata Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan tersebut.

 

Ia turut menekankan kepentingan integriti pasaran dan kelancaran pasaran yang teratur dan adil, serta menegaskan bahawa sebarang penyembunyian, konflik kepentingan atau manipulasi pasaran boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

 

“Tindakan tegas ini bertujuan memberi pengajaran kepada semua Orang Berdaftar agar mematuhi standard profesional, mengelakkan amalan manipulatif dan mengekalkan integriti pasaran saham Malaysia.

 

“Kami menegaskan, semua wakil pedagang berkomisen wajib bertindak jujur, mematuhi peraturan dan mengekalkan pasaran yang adil pada setiap masa, serta mengenal pasti dan menguruskan konflik kepentingan dalam tugasan mereka,” katanya.

 

Sementara itu, Bursa Malaysia mengingatkan bahawa integriti pasaran adalah asas kepada keyakinan pelabur dan pembangunan pasaran modal negara. - DagangNews.com