KUALA TERENGGANU 17 Okt – Lebih 2,000 pengunjung dijangka hadir ke acara pelaburan anjuran Bursa Malaysia Berhad di Mayang Mall yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad (19 Oktober).
Penganjuran Bursa Marketplace Fair 2025 itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bursa Malaysia untuk meningkatkan celik kewangan dan pelaburan berinformasi dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di sekitar Pantai Timur.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, ia selaras dengan komitmennya untuk memperluas penyertaan pelabur individu dalam pasaran modal.
“Dengan tema “Bijok Molek Urus Duit”, edisi Terengganu kali ini dijangka menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung.
“Acara ini percuma dan terbuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 9 malam. Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian atau di lokasi acara,” kata Bursa Malaysia.
Bursa Marketplace Fair menawarkan pelbagai sesi perkongsian ilmu kewangan dan pelaburan, termasuk sesi bual bicara bersama tokoh terkenal dalam dunia pelaburan.
Sebanyak 12 reruai pameran akan turut serta mewakili pelbagai organisasi seperti BIMB Securities Sdn Bhd, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Financial Markets Ombudsman Service (FMOS), Hong Leong Investment Bank Berhad, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Malacca Securities Sdn Bhd, Minority Shareholders Watch Group (MSWG), Phillip Capital Sdn Bhd, PHB Asset Management Berhad, RHB Investment Bank Berhad, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd dan Webull Securities (Malaysia) Sdn Bhd.
Pengunjung juga akan diperkenalkan kepada pelbagai platform digital inovatif dan jenis aset yang ditawarkan di Bursa Malaysia, termasuk saham, dana dagangan bursa (ETF), amanah pelaburan hartanah (REIT), derivatif, Bursa Gold Dinar dan BR Capital.
Bursa Malaysia berkata, selain aktiviti pelaburan, acara ini turut menyediakan aktiviti komuniti dan hiburan keluarga seperti perkongsian tentang penjagaan kesihatan serta saringan kesihatan percuma daripada KMI Kuala Terengganu Medical Centre, permainan interaktif dan pelbagai aktiviti menarik lain.
“Bursa Marketplace Fair Terengganu merupakan edisi fizikal ke-5 yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur selepas penganjuran terdahulu di Pulau Pinang pada 2019, Johor Bahru pada 2023, Kota Kinabalu pada Mei 2024 dan Kuching pada November 2024.” katanya.
Bursa Malaysia yang diperbadankan pada 1976 dan disenaraikan pada 2005, kini merupakan antara bursa terbesar di ASEAN.
Ia mengendalikan dan mengawal selia pertukaran bersepadu sepenuhnya yang menawarkan pelbagai kemudahan serta komited untuk mewujudkan peluang dan meningkatkan nilai pelaburan. - DagangNews.com








