KUALA LUMPUR 28 Okt – Bursa Malaysia Securities Bhd mengambil tindakan undang-undang terhadap KNM Group Bhd berhubung pertikaian mengenai cadangan penjualan unit syarikat itu di Jerman.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KNM menyatakan bahawa kumpulan itu dan anak syarikat milik penuhnya, KNM Process Systems Sdn Bhd, telah diserahkan dengan saman pemula daripada Bursa pada 28 Okt.
Kes itu turut menamakan MAA Group Bhd sebagai defendan pertama dan CIMSEC Nominees (Tempatan) Sdn Bhd sebagai defendan kedua.
Bursa memohon perintah mahkamah untuk menghalang MAA Group dan CIMSEC Nominees daripada mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan cadangan penjualan keseluruhan kepentingan KNM Process Systems dalam Deutsche KNM GmbH.
Cadangan urus niaga itu melibatkan pelupusan Deutsche KNM dengan nilai €270 juta (RM1.32 bilion) secara tunai.
Bursa mahu EGM ditangguhkan sehingga semua syarat di bawah Peraturan Penyenaraian Pasaran Utama dipenuhi. Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 29 Okt.
KNM berkata ia akan mengumumkan maklumat terkini dari semasa ke semasa apabila kes itu berkembang. - DagangNews.com








