KUALA LUMPUR 19 Ogos - Halatuju Bumi Armada Bhd kembali menjadi persoalan utama selepas cadangan penggabungan dengan unit pengeluaran terapung MISC Bhd dibatalkan pada 4 Ogos lalu.
Saham Bumi Armada jatuh ke paras terendah dalam tiga tahun selepas kedua-dua syarikat itu bersetuju membatalkan rancangan penggabungan yang berpotensi mewujudkan pengendali aset terapung kedua terbesar dunia dengan gabungan 20 kapal bernilai hampir RM15 bilion.
Walaupun mempunyai kunci kira-kira bersih, kadar keberoperasian kapal tinggi serta potensi menjadi pengendali medan minyak di Indonesia, Bumi Armada masih kurang mendapat perhatian pelabur berikutan harga minyak mentah yang lemah dan ketiadaan prospek pertumbuhan jangka pendek, lapor The Edge.
Penggabungan dengan MISC yang dikaitkan dengan Petronas dilihat mampu membantu menyokong semula saham Bumi Armada, yang masih diniagakan pada diskaun walaupun syarikat itu berjaya membuat pemulihan sejak 2021 di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Gary Christenson.
“Walaupun dengan kadar sewa lebih rendah secara kontrak [daripada lanjutan pajakan], syarikat ini masih murah berbanding aliran tunai operasi. Sebarang cerita pertumbuhan hanyalah bonus. Dividen tahun ini [satu sen sesaham, yang pertama sejak 2016] juga mengejutkan,” kata seorang pengurus dana sektor minyak & gas (O&G).
Sejak 2019, Bumi Armada telah mengumumkan lanjutan kontrak bernilai RM2.15 bilion. Dua tahun terbaik syarikat adalah tahun kewangan 2022 dan 2024.
Namun begitu, tiada tanda-tanda syarikat secara agresif mencari peluang kerja baharu ketika pasaran FPSO global berada pada tahap paling rancak dalam sedekad.
“Tiada cakap-cakap tentang harga saham, latihan korporat atau pun tender baharu,” kata pengurus dana itu, sambil menambah kejutan peruntukan susut nilai setahun lalu turut memburukkan keadaan.
Saham Bumi Armada ditutup pada 40 sen Jumaat lalu, berbanding harga sasaran konsensus 65 sen. Ketika cadangan penggabungan masih di atas meja, saham pernah mencecah setinggi 69 sen.
Pada kadar nisbah harga-keuntungan hadapan empat kali dan nilai buku kurang 0.4 kali, saham Bumi Armada kini diniagakan pada kurang separuh penilaian pesaing lebih menonjol, Yinson Holdings Bhd. Hasil dividen terkini ialah 2.5%, berbanding Yinson 1.7% dan MISC 4.6%.
“Dari sudut pendapatan, kebanyakan kontrak Bumi Armada bukan kontrak baharu dan perlu digantikan dengan projek baru,” kata seorang lagi pengurus dana.
Sebahagian pelabur masih memegang saham Bumi Armada pada kadar kerugian, khususnya mereka yang terperangkap apabila kegagalan projek dan kejatuhan harga minyak antara 2014 dan 2018 menghapuskan sehingga RM11 bilion daripada modal pasaran syarikat.
Pemegang amanah harta pusaka Ananda adalah pemegang saham terbesar Bumi Armada dengan pegangan tidak langsung 34.58%. Sehingga akhir Mac, pelbagai dana Permodalan Nasional Bhd (PNB) memiliki lebih 13%, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 2.05% setelah mengurangkan pegangan kepada bawah 5% pada 2020; sementara Norges Bank memiliki 1.45%.
Beberapa pengurus dana pula lebih berhati-hati. “Pengurusan sepatutnya meneruskan strategi sedia ada daripada terlalu agresif mencari pertumbuhan. Syarikat sudah kukuh dan masih ada pihak lain yang berpotensi berminat [selain MISC],” kata seorang pelabur.
Situasi ini mengingatkan kepada Yinson, yang sahamnya melonjak semula daripada paras terendah 2Q selepas pengerusi eksekutif merangkap pemegang saham terbesar, Lim Han Weng, mengesahkan keluarganya sedang meneroka opsyen pegangan saham dalam syarikat.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY2025), keuntungan bersih Bumi Armada susut hampir 25% tahun ke tahun kepada RM182.77 juta atau 3.08 sen sesaham, berbanding RM240.54 juta atau 4.06 sen sesaham pada 1QFY2024. Hasil turut merosot kepada RM473.97 juta daripada RM635.54 juta.
Aliran tunai bersih daripada operasi juga menyusut kepada RM133.87 juta berbanding RM271.93 juta pada 1QFY2024. Hampir 14% daripada jumlah aset syarikat dipegang dalam bentuk tunai berjumlah RM1.42 bilion, berbanding hutang sebanyak RM3.5 bilion. - DagangNews.com








