Bumi Armada bubarkan secara sukarela anak syarikat di Labuan, berpeluang raih untung RM23 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bumi Armada bubarkan secara sukarela anak syarikat di Labuan, berpeluang raih untung RM23 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MeiBumi Armada Berhad berpeluang mencatatkan keuntungan pertukaran mata wang asing (forex) sekitar RM23 juta susulan langkah menutup secara sukarela anak syarikat di Labuan.


Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, subsidiari tersebut dibubarkan kerana sudah lama tidak pernah aktif, dalam satu lagi usaha penstrukturan dan penjimatan syarikat itu.


Bumi Armada (Labuan) Ltd sendiri meluluskan resolusi khas bagi pelaksanaan penggulungan berkenaan secara sukarela melalui mesyuarat melibatkan anggota Lembaga Pengarahnya pada 11 Mei 2026.


"Ia sudah pun menghentikan operasi sejak 2024 dan kekal tidak aktif, dengan Bumi Armada mengambil keputusan menamatkan entiti itu sebagai sebahagian langkah penyusunan semula operasi," katanya.


Selepas proses penggulungan tersebut selesai, kumpulan itu jelasnya, dijangka dapat merealisasikan keuntungan rizab forex berjumlah kira-kira RM23 juta ke dalam kedudukan kewangan syarikat semasa.


Bagaimanapun, ia merupakan keuntungan bukan tunai daripada pelaburan bersih dalam syarikat terbabit dan tiada kesan operasi material kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.


Bumi Armada turut menjelaskan, penggulungan syarikat tersebut dibuat mengikut peruntukan Akta Syarikat Labuan 1990 dengan Tan Chin Fah dari KBCF Tan PLT dilantik sebagai pelikuidasi rasmi.


"Langkah ini mencerminkan usaha berterusan syarikat minyak dan gas (O&G) memperkemaskan struktur korporat serta mengurangkan kos penyelenggaraan entiti tidak aktif dalam kumpulan," katanya.


Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam proses penggulungan tersebut. - DagangNews.com