Bumi Armada berpeluang raih lebih banyak projek FPSO disokong permintaan tinggi syarikat pengeluar minyak – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bumi Armada berpeluang raih lebih banyak projek FPSO disokong permintaan tinggi syarikat pengeluar minyak – MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac – Bumi Armada dijangka mencatat pertumbuhan positif pada tahun-tahun akan datang berikutan harga minyak yang tinggi dan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kapal terapung untuk pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan minyak (FPSO), menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Beli dengan sasaran harga RM0.44 sesaham disokong oleh kedudukan kewangan yang semakin kukuh, buku tempahan stabil dan prospek pertumbuhan jangka panjang.

 

“Syarikat telah mencadangkan pengurangan modal berjumlah RM1.95 bilion bagi menghapuskan kerugian terkumpul syarikat, selain meminta kelulusan pemegang saham untuk melaksanakan pembelian balik saham. 

 

“Pengurangan modal ini dijangka mengimbangi kira-kira RM1.45 bilion kerugian terkumpul setakat Disember 2024, sekaligus menetapkan semula kedudukan baki keuntungan syarikat kepada jumlah positif sebanyak RM498.59 juta di peringkat syarikat.

 

“Di peringkat kumpulan, baki keuntungan  dijangka meningkat sebanyak RM262.98 juta kepada RM2.21 bilion selepas pengurangan modal ini. Langkah ini menormalisasikan kedudukan kewangan syarikat tanpa menjejaskan tunai sebenar, dan menghapuskan sekatan yang biasanya dikaitkan dengan baki defisit,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya hari ini.

 

Kerugian terkumpul sebelum ini sebahagian besarnya disebabkan oleh caj penurunan nilai, khususnya berkaitan prestasi rendah Armada Kraken FPSO dan tahap ketersediaan yang kurang baik. Keadaan ini menjadi lebih buruk akibat penggunaan kapal yang rendah dan kadar harian menurun dalam segmen kapal sokongan luar pesisir, sekali gus menjejaskan keuntungan kumpulan.

 

Selain itu, syarikat mencadangkan mandat pembelian balik saham untuk meningkatkan nilai pemegang saham. Langkah ini relevan terutamanya apabila lembaran imbangan Bumi Armada telah diperkuat dan penilaian saham mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan asas fundamental syarikat.

 

Dari segi operasi, MBSB Research berkata pengurangan modal berlaku ketika Bumi Armada menunjukkan disiplin kewangan yang lebih baik dan aliran tunai yang kukuh. 

 

“Untuk FY25, kumpulan mencatat aliran tunai operasi sebanyak RM1.04 bilion dan menutup tahun kewangan dengan baki tunai sebanyak RM1.32 bilion.

 

“Penjanaan tunai yang kukuh membolehkan syarikat mengurangkan jumlah pinjaman kira-kira AS$63 juta, sekali gus menurunkan leverage dan kos kewangan,” kata firma tersebut.

 

MBSB Research menegaskan bahawa keadaan ini memperkukuh kedudukan kewangan syarikat dan memberi fleksibiliti untuk menghadapi cabaran masa depan.

 

“Bumi Armada juga mempunyai buku tempahan yang besar dan stabil, dengan nilai RM7.9 bilion setakat 4QFY25 dan kontrak lanjutan tambahan berjumlah RM8.8 bilion yang memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang, terutamanya melalui kontrak FPSO jangka panjang yang menjadi teras pendapatan kumpulan.

 

“Dalam konteks pasaran, harga minyak mentah kini diniagakan pada tahap tinggi berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah. Keadaan ini dijangka mendorong pengeluar minyak utama meningkatkan perbelanjaan modal, khususnya dalam aktiviti pembangunan huluan, bagi memastikan dan memperluas kapasiti pengeluaran.

 

“Bumi Armada dijangka mendapat manfaat secara langsung daripada situasi ini kerana syarikat menyediakan kapal FSPO serta perkhidmatan sokongan lain kepada pengeluar minyak. Dengan harga minyak yang tinggi, syarikat minyak lebih cenderung meningkatkan pelaburan, sekali gus menambah projek untuk Bumi Armada,” katanya.

 

MBSB Research melihat Bumi Armada berada pada kedudukan baik untuk merebut permintaan tambahan daripada pengeluar minyak kerana kehadirannya yang kukuh dalam segmen FPSO dan rekod operasi yang mantap. 

 

“Syarikat dijangka mendapat manfaat daripada kekuatan berterusan harga minyak dan peningkatan aktiviti projek huluan,” katanya. - DagangNews.com