KUALA LUMPUR 28 Nov - Bumi Armada Bhd dijangka berdepan prospek pendapatan lebih rendah berikutan kadar sewaan kapal pengapungan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang tidak menggalakkan, menurut penganalisis pasaran saham.
Bagaimanpun, penganalisis mengekalkan saranan BELI ke atas kaunter itu berikutan prospek jangka panjang yang kekal positif.
MBSB Research berkata, Bumi Armada mencatatkan prestasi bercampur bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY25), apabila pendapatan terasnya susut kepada RM382 juta — lebih rendah daripada jangkaan penganalisis tetapi masih seiring konsensus pasaran.
Susulan keputusan tersebut, firma penyelidikan itu menurunkan harga sasaran Bumi Armada kepada RM0.44 daripada RM0.54 sebelum ini, namun mengekalkan saranan BELI ke atas kaunter itu berdasarkan prospek pertumbuhan jangka panjang.
Prospek itu kata MBSB termasuk kemajuan Akia PSC ke peringkat pembangunan seterusnya, permulaan kajian geologi dan geofizik Kojo PSC, pembidaan aktif tender FPSO BOT di tengah-tengah peningkatan tender oleh PETRONAS dan pelunasan penuh hutang Olombendo bagi FY26–27.
"Disiplin pengurusan hutang dan pengukuhan aliran tunai juga kukuh, selain Bumi Armada juga giat meneroka peluang dalam perniagaan bukan teras seperti huluan, penyimpanan CO₂ dan LNG, di samping mengukuhkan lagi segmen teras FPSO," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) telah menurunkan unjuran pendapatan tiga tahun bagi Bumi Armada susulan kadar sewaan kapal yang lebih rendah.
Firma itu mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 (FY25–27) masing-masing sebanyak 7.8 peratus, 8.3 peratus dan 7.7 peratus, mencerminkan sumbangan yang lebih rendah daripada FPSO Kraken dan Olombendo selepas penurunan kadar sewaan.
Walaupun berlaku penyusutan unjuran pendapatan, HLIB mengekalkan penarafan BELI ke atas syarikat perkhidmatan medan minyak luar pesisir itu dengan harga sasaran lebih rendah iaitu 49 sen berbanding 50 sen sebelum ini.
“Kami berpendapat kejatuhan harga saham baru-baru ini akibat kegagalan potensi penggabungan antara Bumi Armada dan MISC adalah berlebihan.
“Secara positif, kami melihat kunci kira-kira Bumi Armada terus mengukuh, dengan nisbah hutang bersih bertambah baik kepada 0.25 kali pada suku ketiga, disokong nisbah hutang kepada ekuiti yang lebih rendah iaitu 0.46 kali.
“Baki tunai juga kekal stabil sekitar RM1.2 bilion, menyediakan kecairan mencukupi bagi operasi berterusan serta potensi penyertaan dalam bidaan FPSO yang akan datang,” katanya dalam satu nota.
Keuntungan bersih teras suku ketiga Bumi Armada jatuh 63.1 peratus kepada RM94.8 juta, dipengaruhi sumbangan yang lebih lemah daripada kedua-dua FPSO Kraken dan Olombendo.
Prestasi yang lebih lemah itu turut diseret oleh perbelanjaan eksplorasi dan penilaian yang lebih tinggi bagi Akia PSC.
Ini menjadikan keuntungan teras sembilan bulan Armada sebanyak RM376.7 juta, susut 50 peratus, sekali gus berada di bawah jangkaan HLIB pada 60.1 peratus daripada unjuran setahun penuhnya tetapi masih dalam jangkaan konsensus pada 73.1 peratus. - DagangNews.com








