KUALA LUMPUR 10 Mac — Paras buku tempahan projek terkumpul mencecah RM7 bilion kini meletakkan Binastra Corporation Berhad memberikan fokus lebih utama terhadap keupayaan pelaksanaan projek.
Menurut Phillip Capital, walaupun meningkat ketara daripada RM3.6 bilion setahun lalu, kejayaan sebenar bergantung kepada kelancaran pelaksanaan projek serta kadar pengebilan kemajuan kerja.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan keputusan kewangan bagi 4QFY26 mencatat pertumbuhan kukuh untuk tahun ke tahun (YoY), namun sedikit lebih rendah bagi suku ke suku (QoQ),
"Binastra diramal berpotensi mencatatkan keuntungan sekitar RM35 juta hingga RM40 juta untuk tempoh suku keempat tahun kewangan 2026," tambah firma berkenaan dalam nota analisisnya hari ini.
Prestasi tahunan dijangka mengatasi unjuran sedia ada, sekali gus mendorong Phillip Capital untuk menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26 hingga FY27 antara kira-kira 2% hingga 9%.
Kelemahan QoQ sebahagian besarnya disebabkan beberapa projek baharu Binastra yang masih berada pada peringkat awal pelaksanaan, dan pengebilan kemajuan kontrak belum pun meningkat sepenuhnya.
Pada tahun kewangan 2026 jelas Phillip Capital, kumpulan tersebut berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM4.1 bilion, sekali gus menjadi rekod paling tinggi dalam sejarah syarikat.
"Bagi FY27, pihak pengurusan menyasarkan kontrak baharu mencecah RM2.5 bilion, dengan peluang projek dijangka datang daripada pelanggan kediaman baharu di Lembah Klang serta Johor," katanya.
Binastra juga mengekalkan kapasiti bidaan projek pusat data (DC), ketika pemaju seperti Exsim Group memberi tumpuan pelaksanaan projek sedia ada, manakala Maxim Global meneroka peluang baharu.
Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.66 daripada RM2.60, berdasarkan penilaian 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27.

Tambah firma penyelidikan tersebut, saham syarikat berkenaan kini diniagakan sekitar 12 kali PE FY27, iaitu kira-kira 30% diskaun berbanding purata sektor pembinaan iaitu sebanyak 16 kali.
"Selain itu, anak syarikat milik 51% Binastra, LF Lensen Sdn Bhd, turut berpotensi meningkatkan keuntungan kumpulan melalui perniagaan tangki penampan bekalan air untuk projek DC," jelasnya.
Syarikat tersebut katanya, membekalkan sistem tangki kepada lebih 41 DC di Malaysia, Singapura, Vietnam dan Filipina, dengan nilai projek lazimnya antara RM2 juta hingga RM5 juta setiap satu.
Phillip Capital menjangkakan LF Lensen berpotensi menjana keuntungan selepas cukai (PAT) RM15 juta hingga RM20 juta pada FY27, lebih tinggi daripada jangkaan awal hanya sekitar RM10 juta setahun.
Dalam masa sama tambah firma tersebut, prospek projek DC adalah kekal kukuh dengan satu projek yang berkapasiti 50 megawatt kelazimannya mampu membawa nilai kontrak mencecah sekitar RM500 juta.
"Pengurusan Binastra menyasarkan untuk memperoleh satu hingga dua projek DC baharu tahun ini, yang berpotensi menambahkan sehingga RM1 bilion kepada buku tempahan syarikat itu," jelasnya lagi.
Selain daripada kontrak berkenaan kata Phillip Capital, Johor juga kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan kumpulan dengan negeri tersebut menyumbang sekitar 40% daripada buku tempahan semasa.
Antara peluang baharu itu kata firma tersebut, termasuk projek pembangunan di Tampoi melibatkan tanah milik CPI Land yang berpotensi menambah sekitar RM500 juta kepada buku tempahan syarikat.
Di samping itu, projek pembangunan Binastra di Johor Bahru dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM2.3 bilion turut disifatkan berpotensi menjana kontrak pembinaan kepada kumpulan.
"Bagaimanapun kami mengingatkan antara risiko utama termasuk kelewatan pengebilan kemajuan projek, pertumbuhan tempahan yang perlahan dan peningkatan kos pembinaan," katanya. - DagangNews.com








