KUALA LUMPUR 13 Okt – Sistem subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95) kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak, menurut Kementerian Kewangan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan sudah mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian di Sarawak.
“Pengaktifan dibuat berdasarkan data yang diperolehi daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi kerajaan negeri yang berkaitan,” kata kementerian itu.
Pada masa yang sama, siling penggunaan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa juga telah dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.
MoF berkata pihaknya membuat semakan silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), melibatkan lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa yang layak menerima kenaikan siling tersebut.
“Selain itu, lebih 11,400 pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95, termasuk 11,200 pemandu yang baharu mendapat lesen dan 260 pemandu yang memperbaharui lesen.
“Secara keseluruhan, lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat daripada program subsidi ini,” katanya.
Kementerian menegaskan pihaknya sentiasa membuat penambahbaikan bagi memastikan program itu sampai secara menyeluruh kepada rakyat.
Sebelum ini, kelayakan untuk pengguna bot di Sabah sudah diaktifkan dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Bagi memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau WhatsApp di +603-2631 4595.
“Portal ini juga dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna,” kata kementerian itu.- DagangNews.com








