KUALA LUMPUR 28 April — Beberapa penyedia perkhidmatan pembrokeran, termasuk Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Rakuten Trade Sdn Bhd, menerbitkan notis segera mengarahkan pelanggan menetapkan semula kata laluan akaun dagangan mereka.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha terbaharu firma broker saham berkenaan untuk mengukuhkan aspek keselamatan, selain melindungi akaun dan mencegah insiden pelanggaran dagangan daripada berulang semula.
Maybank antaranya telah menggesa pelanggan untuk segera menetapkan semula kata laluan mereka melalui platform Maybank2u dan PowerBroking2u, dengan memetik potensi kemungkinan berlaku insiden serangan siber.
"Jika anda mengesyaki ada sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan dalam akaun anda, segera hubungi Maybank atau Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional dan buat laporan polis," kata Maybank dalam nota tersebut.
Sementara itu, Rakuten Trade dalam satu kenyataan juga mengeluarkan amaran timbul menerusi aplikasi dalaman pelanggan mereka yang memaklumkan mengenai langkah penetapan semula kata laluan secara mandatori.
Artikel berkaitan: SC, Bursa Malaysia nasihat broker berwaspada susulan berlaku kes akaun digodam
"Sebagai tindak balas kepada laporan terkini mengenai akses tanpa kebenaran yang menjejaskan beberapa broker ekuiti di Malaysia, kami secara proaktif meningkatkan langkah keselamatan kami untuk melindungi akaun anda," katanya.
Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 25 April 2025 mengesahkan ada aktiviti tidak dibenarkan dilaporkan sebilangan kecil broker dan akaun pelanggan, tetapi menekankan bahawa sistem dagangan dan penjelasan teras kekal selamat.
Siasatan sedang dijalankan namun firma pembrokeran telah diarahkan untuk melaksanakan segera pengesahan pelbagai faktor dan langkah keselamatan siber yang lebih ketat.
Ia susulan beberapa broker pada 24 April 2025 melaporkan mengesan akses tidak dibenarkan dan aktiviti perdagangan yang melibatkan beberapa akaun dagangan secara dalam talian. - DagangNews.com








