Boustead Heavy Industries kembali raih untung bersih bagi 1QFY26, disokong pengurangan kos operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boustead Heavy Industries kembali raih untung bersih bagi 1QFY26, disokong pengurangan kos operasi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 22 MeiBoustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM104,000 bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26).



Pemulihan prestasi berbanding kerugian bersih RM5.2 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu, disokong pengurangan kos operasi, termasuk penurunan kos berkaitan kakitangan sebanyak RM2.7 juta.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut melaporkan pendapatan bagi tempoh tiga bulan dikaji itu berjumlah RM29.7 juta, menyusut 33% daripada RM44.5 juta pada suku pertama 2025.


"Ini disebabkan penyelesaian hampir semua perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berkaitan kapal selam, kecuali bagi kontrak In-Service Support 2 (ISS 2)," kata BHIC.


Walaupun hasil lebih rendah, kumpulan berjaya merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM454,000, jauh lebih baik berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM4.8 juta pada tahun lepas.


Peningkatan ini ujarnya, turut disokong oleh sumbangan keuntungan daripada syarikat usaha sama (JV) sebanyak RM1.6 juta, berbanding bahagian kerugian RM1.2 juta pada suku yang sama tahun 2025.


Bagi tempoh tersebut tambah BHIC, pendapatan sesaham kumpulan berkenaan mencatatkan peningkatan kepada sebanyak 0.02 sen berbanding kerugian sesaham kira-kira 0.92 sen pada tahun sebelumnya.


"Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan terus beroperasi dalam perbelanjaan yang baik, khususnya peruntukan RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan di bawah Belanjawan 2026," jelasnya lagi. 


BHIC kini mengatur strategi dalam segmen pertahanan darat dan udara melalui kerjasama strategik dengan pemain industri terkemuka bagi memperkukuh keupayaan teknologi dan daya saing. - DagangNews.com