Boustead Heavy Industries Corp catat keuntungan bersih RM176,000 untuk 3Q2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boustead Heavy Industries Corp catat keuntungan bersih RM176,000 untuk 3Q2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 NovBoustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) mencatatkan keuntungan bersih RM176,000 bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q2025), berbanding kerugian bersih RM11.95 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BHIC berkata pemulihan itu turut disokong oleh peningkatan keuntungan daripada usaha sama yang melonjak kepada RM1.08 juta berbanding RM471,000 sebelum ini, disumbang terutamanya oleh prestasi lebih baik BHIC AeroServices Sdn Bhd.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan susut 21% kepada RM56.36 juta (3Q2024: RM71.70 juta), sejajar dengan pengiktirafan lebih rendah daripada kontrak pertahanan yang menghampiri fasa akhir, khususnya program interim in-service support (ISS), fasiliti kapal selam serta lanjutan ISS.

 

BHIC menjelaskan bahawa sebahagian besar pendapatan projek MRDF telah diiktiraf pada 2024, manakala kemajuan lebih tinggi di bawah ISS 2 membantu mengimbangi penurunan pendapatan tahun ini.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, BHIC merekodkan kerugian bersih RM7.10 juta, bertentangan dengan keuntungan bersih RM6.55 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya, disebabkan pendapatan kumpulan yang susut 23% kepada RM147.08 juta.

 

Pendapatan sesaham bagi suku tersebut ialah 0.03 sen, berbanding kerugian sesaham 2.12 sen setahun lalu.

 

Tunai dan baki bank menurun kepada RM99.29 juta berbanding RM131.30 juta pada akhir 2024, berikutan pembayaran kepada pembekal, kos kakitangan, perbelanjaan pentadbiran serta perkhidmatan pinjaman.

 

Jumlah pinjaman pula mengecil kepada RM2.73 juta daripada RM4.15 juta selepas pembayaran balik kredit pusingan dan pinjaman berjangka.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut, selaras dengan tempoh sama tahun lalu.

 

BHIC berkata pertumbuhan pendapatan akan terus disokong oleh program ISS 2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kerja penyenggaraan helikopter untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta kontrak penyelenggaraan meriam Bofors 40mm L70 milik TLDM.

 

Kumpulan tetap optimis untuk memperoleh kontrak pertahanan baharu sambil memperluas portfolio komersialnya bagi mewujudkan asas pendapatan yang lebih seimbang dan mampan. - DagangNews.com