KUALA LUMPUR 25 Mei – Bonia Corporation Berhad mencatatkan peningkatan 5.2% untung bersih kepada RM10.2 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM9.7 juta pada suku sama tahun lalu.
Menurutnya, prestasi positif tersebut didorong terutamanya oleh sumbangan keuntungan perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang sudah disatukan dalam keputusan kewangan tempoh semasa.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan berkenaan melaporkan pendapatan suku tahunan melonjak kira-kira 10.1% kepada RM118.02 juta, berbanding RM107.22 juta pada suku yang sebelumnya.
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 6.1% kepada RM15.16 juta," jelas Bonia. Peningkatan hasil ini turut disokong oleh prestasi jualan yang lebih kukuh.
Tambahnya, situasi itu bersempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, namun keuntungan kumpulan mungkin lebih rendah jika tidak mengambil kira sumbangan segmen F&B.
Keadaan tersebut tambahnya, disebabkan faktor peningkatan kos operasi berikutan pelaksanaan cukai perkhidmatan ke atas sewa pajak serta caj susut nilai yang lebih tinggi sepanjang suku berkenaan.
Bagi prestasi kumulatif selama sembilan bulan, Bonia mencatatkan hasil RM313.43 juta, tetapi untung bersih bagi tempoh itu menyusut kepada RM16.60 juta berbanding RM20.49 juta pada FY25.
"Penurunan secara ketara ini disebabkan oleh faktor perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dan langkah pelarasan ke atas nilai inventori mencecah sebanyak RM0.5 juta," kata kumpulan tersebut.
Mengenai prospek masa depan, ia tetap berhati-hati terhadap persekitaran makroekonomi yang lebih mencabar, termasuk tekanan inflasi dan ketegangan geopolitik akibat peperangan di Timur Tengah.
Meskipun berdepan cabaran, Bonia masih optimis terhadap segmen pakaian sukan melalui perkongsian strategik dengan Xtep Asia Holding Pte Ltd, dengan enam cawangan Xtep sudah berjaya dibuka.
Lembaga pengarah kumpulan itu juga mengisytiharkan pembayaran dividen interim satu peringkat sebanyak 2.00 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. - DagangNews.com








