BNM: Portal Anti-Penipuan Kebangsaan sekat transaksi scammer RM369 juta Jan-Jun 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM: Portal Anti-Penipuan Kebangsaan sekat transaksi scammer RM369 juta Jan-Jun 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Nov - Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP), iaitu platform berpusat negara bagi mengesan dan menyekat penipuan kewangan, telah berjaya menyekat lebih RM369 juta transaksi penipuan sejak Januari hingga Jun 2025.

 

Inisiatif yang diterajui Bank Negara Malaysia (BNM) bersama industri kewangan ini memperkukuh keupayaan pencegahan institusi kewangan dan dijangka mengatasi jumlah RM399 juta transaksi penipuan yang berjaya dihalang sepanjang tahun 2024.

 

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata kejayaan NFP membuktikan kekuatan pendekatan kolaboratif antara pengawal selia, institusi kewangan, agensi penguat kuasa dan penyedia perkhidmatan komunikasi dalam membanteras jenayah kewangan digital yang semakin kompleks.

 

 

 

 

 

 

 

 

“Portal Anti-Penipuan Kebangsaan mencerminkan pendekatan seluruh negara dalam menangani jenayah kewangan. Ia membolehkan perkongsian maklumat secara masa nyata dan tindakan pantas menyekat transaksi penipuan sebelum mangsa kehilangan wang,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Antarabangsa Ke-15 Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF 2025) hari ini.

 

Kerjasama di bawah Pasukan Petugas Pencegahan Jenayah Komersial Industri Kewangan (FICCP) turut membawa kepada kejayaan besar dalam mengekang penipuan.

 

NFP kini kata beliau lagi, sedang dipertingkat untuk memendekkan masa pengesanan, memperluas integrasi data dan mempertingkat penggunaan analitik ramalan bagi mengesan penipuan serta akaun keldai dengan lebih berkesan.

 

Abdul Rasheed berkata, antara tonggak utama kerjasama industri ialah Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang ditubuhkan pada Oktober 2022 sebagai platform kolaborasi antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan industri komunikasi.

 

Hasil usaha ini, NSRC kini beroperasi 24 jam sehari untuk menerima laporan, mengesan, membekukan serta memulihkan dana yang ditipu. Sehingga suku ketiga 2025, NSRC telah menerima 263,683 panggilan, berjaya menyita RM12.91 juta dan mengembalikan RM1.99 juta wang mangsa.

 

Abdul Rasheed menekankan kolaborasi juga penting dalam menghadapi jenayah baharu yang didorong oleh teknologi, termasuk yang beroperasi melalui media sosial dan platform penstriman.

 

“Jenayah baharu ini bukan lagi tanggungjawab agensi penguat kuasa semata-mata. Setiap daripada kita mesti kekal berwaspada dalam mengesan dan melaporkan aktiviti sebegini,” tegasnya.

 

Beliau menambah, dalam menghadapi skim penipuan yang semakin canggih, memperkasa pengguna dengan ilmu pengetahuan amat penting.

 

“Dalam 95% kes penipuan di Malaysia, mangsa secara sedar memindahkan wang kepada individu yang sebenarnya penipu. Ini menunjukkan jurang kesedaran yang ketara dan menekankan keperluan pendidikan pengguna. Kesedaran dalam kalangan pengguna kewangan ialah barisan pertahanan pertama kita,” katanya.

 

Kempen #JanganKenaScam yang dilancarkan pada IFCTF ke-13 pada Oktober 2023 turut memainkan peranan besar dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap ancaman penipuan kewangan. “Tinjauan menunjukkan sembilan daripada 10 responden kini peka terhadap amaran penipuan daripada bank. Ini membuktikan pendidikan awam yang berterusan mampu mengubah tingkah laku,” jelasnya.

 

Abdul Rasheed menyeru industri kewangan terus berpaksikan tiga prinsip utama – Kolaborasi, Kreativiti dan Tatakelakuan – dalam memelihara integriti ekosistem kewangan negara.

 

“Tatakelakuan tidak seharusnya terhad kepada pematuhan semata-mata; ia mesti menjadi budaya dan suara hati dalam tindakan. Contohnya, melengkapkan pegawai barisan hadapan dengan disiplin untuk mengendalikan hal pematuhan dan peraturan dengan yakin sambil memastikan pengalaman kewangan yang positif kepada pelanggan,” katanya.

 

Beliau turut merakam penghargaan kepada pegawai khidmat pelanggan industri kewangan atas kepekaan dan dedikasi mereka, menyifatkan mereka sebagai barisan hadapan dalam perang menentang penipuan kewangan.

 

 

 

 

 

 

 

“Tindakan anda membina kepercayaan pelanggan dan membantu usaha kita mendidik serta melindungi masyarakat. Tatakelakuan beginilah yang mengekalkan keyakinan dan menjadikan sistem kewangan kita selamat serta berdaya tahan,” ujarnya.

 

Persidangan IFCTF yang kini memasuki edisi ke-15 menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan landskap jenayah kewangan serta pembiayaan keganasan yang semakin kompleks, selain memperkukuh kerjasama global demi integriti sistem kewangan dunia. - DagangNews.com