BNM lantik dua ahli baharu dalam Majlis Penasihat Syariah berkuat kuasa 1 Mei 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM lantik dua ahli baharu dalam Majlis Penasihat Syariah berkuat kuasa 1 Mei 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 April — Bank Negara Malaysia (BNM) melantik dua ahli baharu menganggotai Majlis Penasihat Syariah (MPS) bank berkenaan iaitu Prof Dr Amir Shaharuddin dan Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkuat kuasa 1 Mei 2025.

 

Pelantikan tersebut katanya, dibuat menurut seksyen 53(1) Akta BNM 2009 yang menyaksikan MPS kini dibarisi oleh sembilan ahli berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan serta undang-undang.


Amir ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF manakala Abdul Rahim ialah Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan tempoh mereka berdua selama dua tahun sehingga 30 April 2027.


"MPS pada ketika ini dipengerusikan oleh Prof Datuk Dr Ashraf Md Hashim iaitu profesor dari Universiti International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF) di ibu negara," kata BNM dalam kenyataan tersebut.


Timbalan Pengerusinya pula disandang oleh Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali iaitu Profesor Kehormat dari Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Selangor.


Lima anggota sedia ada MPS antaranya ialah Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir; Ahli Jawatankuasa Penasihat, Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman dan Ketua Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad, Dr Ahmad Basri Ibrahim.


Sementara itu, dua lagi anggotanya melibatkan individu dari Universiti INCEIF sendiri iaitu Timbalan Presiden Penyelidikannya, Dr Marjan Muhammad dan Profesor universiti berkenaan, Datuk Prof Dr Mohamad Akram Laldin.


"Secara umumnya, MPS merupakan sebuah badan berkuasa paling tinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan, aktiviti atau transaksi secara Islam di seluruh Malaysia," kata kenyataan BNM.


Keputusan yang ditetapkan oleh MPS katanya, menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mematuhi prinsip syariah serta boleh digunakan sebagai rujukan pihak mahkamah dan penimbang tara.


BNM menambah, MPS turut memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan kepastian amalan patuh syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pelaksanaan industri kewangan Islam di negara ini. - DagangNews.com