BNM dijangka kekalkan OPR 2.75% meskipun pasaran global tidak menentu - Juwai IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM dijangka kekalkan OPR 2.75% meskipun pasaran global tidak menentu - Juwai IQI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac – Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 5 Mac 2026 meskipun pasaran global sedang mengalami ketidaktentuan yang memberi kesan kepada perdagangan dan harga minyak, menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

 

Beliau berkata pasaran antarabangsa sebenarnya kekal stabil walaupun berlaku beberapa peristiwa global yang memberi tekanan kepada ekonomi. 

 

“Kesan kewangan paling ketara minggu ini adalah kenaikan dolar AS dan harga minyak.

 

“Tidak dapat dipastikan sama ada keadaan ini akan berterusan dalam jangka panjang. Jika ia berlaku, ia mungkin mempengaruhi keputusan Bank Negara tentang kadar faedah pada masa hadapan, tetapi buat masa ini, semua itu hanyalah spekulasi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi mesyuarat kali ini, beliau melihat tiada kesan signifikan daripada situasi global terhadap keputusan kadar faedah. 

 

Kashif berkata MPC dijangka memberi keutamaan kepada kestabilan kadar faedah, dengan menumpukan kepada inflasi domestik dan pertumbuhan ekonomi.

 

“Situasi tarif yang tidak menentu dan ketidakpastian luar negara lain menjadikan kestabilan kadar faedah lebih penting bagi Bank Negara minggu ini,” tambah beliau.

 

Menurutnya, kedudukan ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan pertumbuhan KDNK dijangka mencapai 4.5% tahun ini, manakala inflasi kekal terkawal pada 1.6% pada Januari berbanding tahun sebelumnya. Kos perumahan pula meningkat 1.2%.

 

Beliau menambah, sebelum ini, para penganalisis menjangkakan Bank Negara mengekalkan kadar faedah sepanjang 2026 dan jangkaan itu kekal walaupun berlaku beberapa peristiwa di peringkat antarabangsa minggu ini.

 

Antara faktor yang berpotensi mengubah kestabilan ini termasuk harga minyak yang tinggi secara berterusan, aliran keluar modal dari negara membangun seperti Malaysia dan ketidaktentuan nilai Ringgit. 

 

Bagaimanapun, Kashif menilai kemungkinan ini rendah setakat ini.

 

Beliau juga mengimbas kembali sejarah keputusan Bank Negara selepas pandemik COVID-19, apabila kadar OPR dinaikkan beberapa kali pada 2022 dan 2023 sehingga mencapai 3%.

 

Kadar kemudian dikurangkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada Julai 2025, satu langkah bersejarah selepas lima tahun, yang membolehkan inflasi dikawal pada paras rendah dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta pasaran hartanah.

 

Mengenai kesan kepada pasaran hartanah, Kashif berkata kestabilan kadar faedah memberi kepastian kepada pembeli rumah dan pelabur. 

 

“Mereka boleh merancang bayaran bulanan pinjaman dengan lebih yakin apabila kadar faedah tidak berubah secara mendadak.

 

“Bagi pinjaman rumah 30 tahun berjumlah RM450,000, kenaikan 25 mata asas hanya menambah RM60 hingga RM70 sebulan, jumlah yang tidak terlalu besar tetapi boleh mempengaruhi kelayakan pinjaman. 

 


“Aktiviti transaksi di koridor bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru serta Pulau Pinang dilihat stabil dan pemaju terus menilai pasaran sebelum melancarkan projek baharu,” katanya. - DagangNews.com