KUALA LUMPUR 23 Mei — BM Greentech Berhad diunjur berpotensi merekodkan pertumbuhan kukuh dalam pasaran segmen tenaga solar, berdasarkan keputusan kewangan positif pada suku pertama 2025, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, peningkatan hasil teras kira-kira 49.5 peratus tahun ke tahun iaitu mencecah sebanyak RM54.3 juta, juga melangkaui jangkaan dan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan itu di Malaysia.
Katanya lagi, perkembangan berkenaan disokong oleh margin daripada perniagaan perkhidmatan tenaga bio yang didapati semakin teguh serta prestasi baik disumbangkan melalui segmen panel solar dan rawatan air mentah.
"Kami kekal yakin ke atas prospek BM Greentech terus mengukuhkan diri dan di kedudukan terbaik meraih manfaat peralihan semakin pantas Malaysia ke arah tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berpandangan, sektor diceburi kumpulan berkenaan merupakan pemacu utama pertumbuhan hasil pada masa hadapan disokong oleh dasar peralihan tenaga lestari negara ini yang terus berkembang pesat.
Inisiatif kerajaan melalui antaranya Solar Berskala Besar (LSS), Skim Bekalan RE Korporat (CRESS), dan Mekanisme Pengagregatan RE Komuniti (CREAM) menawarkan saluran peluang kukuh kepada BM Greentech.
Sementara itu katanya, segmen tenaga bio dijangka menyaksikan pertumbuhan teratas yang perlu diberi perhatian, manakala segmen rawatan air diunjurkan mencatatkan perkembangan sederhana, dalam keuntungan kasar.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sesaham baharu RM2.50 berbanding RMR2.33 iaitu kenaikan 36 peratus berdasarkan laporan tinjauan 1QFY25yang melebihi jangkaan," katanya. - DagangNews.com








