KUALA LUMPUR 1 Ogos – Pengendali pelabuhan terbesar Sarawak, Bintulu Port Holdings dikemukakan notis taksiran cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah keseluruhan RM44.22 juta bagi tahun-tahun taksiran 2020 hingga 2023.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menerima empat notis taksiran masing-masing berjumlah RM6.75 juta bagi tahun 2020, RM11 juta bagi tahun 2021, RM12.67 juta bagi tahun 2022 dan RM13.8 juta bagi tahun 2023.
Bintulu Port berkata ia akan membuat rayuan dan mencabar “ketepatan dan kesahan” taksiran cukai yang dikenakan.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan asas tuntutan LHDN tersebut.
“Berdasarkan nasihat perundangan daripada peguam cukai kami, Bintulu Port berpendapat terdapat asas yang kukuh untuk menegaskan tiada asas perundangan dan fakta bagi Ketua Pengarah LHDN untuk mengeluarkan notis-notis tersebut,” kata syarikat itu.
Saham Bintulu Port tidak didagangkan pada Jumaat. Kaunter itu ditutup pada harga RM5.20, memberikan nilai pasaran kepada kumpulan itu sebanyak RM2.39 bilion.

Bintulu Port yang sebelum ini ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan kini diserahkan semula kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak susulan kelulusan dua rang undang-undang di Dewan Rakyat pada 17 Julai 2024.
Dua rang undang-undang tersebut ialah Rang Undang-Undang Pemansuhan Perisytiharan Kawasan di Daerah Bintulu sebagai Pelabuhan Persekutuan 2024 dan Rang Undang-Undang Pembubaran Lembaga Pelabuhan Bintulu 2024.
Kelulusan sebulat suara rang undang-undang itu bahawa penyerahan semula pentadbiran pelabuhan berkenaan adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan undang-undang Sarawak, iaitu Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961.
Menurut ordinan tersebut, semua pelabuhan di Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sarawak. - DagangNews.com








