KUALA LUMPUR 30 Mei — Bintulu Port Holdings Berhad mencatatkan kemerosotan keuntungan bersih lebih 36 peratus pada suku pertama, berikutan kekurangan aktiviti pelabuhan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.
Ia melaporkan keuntungan bersih tiga bulan yang berakhir 31 Mac 2025 kepada RM28.4 juta atau 6.17 sen sesaham, berbanding sebanyak RM44.7 juta atau kira-kira 9.72 sen sesaham pada tempoh suku sama setahun sebelumnya.
Kumpulan itu memiliki Pelabuhan Bintulu, pelabuhan terbesar Sarawak dan terminal tunggal pengeksportan gas asli cecair (LNG) di Malaysia selain Pelabuhan Perindustrian Samalaju, terletak 58 kilometer dari Pelabuhan Bintulu.
Hasil suku tahunan susut 3.34 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM201.7 juta daripada RM208.7 juta, manakala hasil daripada perkhidmatan pelabuhan merosot 1.6 peratus y-o-y kepada RM156.2 juta berbanding RM158.7 juta.
Keadaan lemah berkenaan katanya, disebabkan terutamanya oleh faktor pendapatan yang diperoleh Bintulu Port lebih rendah daripada operasi pengendalian kontena, baja pukal dan produk kayu-kayan di pelabuhannya.
Hasil daripada operasi Pelabuhan Perindustrian Samalaju juga turun 8.5 peratus y-o-y kepada RM36.1 juta berbanding sebanyak RM39.5 juta, manakala kemudahan pukal membawa masuk RM9.4 juta, turun daripada RM10.5 juta.
Berdasarkan kedudukan pada 1QFY25 itu, kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak tiga sen sesaham, iaitu masih tidak berubah berbanding tahun sebelumnya, dan perlu dibayar bermula pada 4 Ogos 2025.
Bintulu Port menjangkakan pengendalian kargo dan kapal LNG akan kekal sebagai penyumbang hasil utamanya manakala hasil tambahan diunjur daripada aktiviti pengurusan metanol, tenaga mentah dan perkhidmatan pukal.
Kumpulan itu bagaimanapun berkata, ia akan memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan daya saing kos untuk mengurangkan risiko daripada dasar perdagangan global serta situasi ketidaktentuan tarif yang berterusan. - DagangNews.com








