KUALA LUMPUR 17 Mac — Keuntungan Binastra Corporation Berhad bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2026 dijangka melonjak antara 60% hingga 100% tahun ke tahun (YoY), menurut RHB Research.
Tambah firma penyelidikan tersebut, perkembangan positif berkenaan didorong oleh faktor kemajuan pembinaan melibatkan beberapa projek pembinaan utama khususnya di sekitar Johor yang terus pesat.
Justeru, ia mengunjurkan syarikat tersebut berupaya mencatat keuntungan teras sekitar RM40 juta hingga RM50 juta bagi 4QFY26 menjelang pengumuman keputusan kewangan terkininya pada 26 Mac 2026.
"Pertumbuhan ini dijangka disokong oleh kemajuan projek yang meningkat dalam kitaran pembinaan, termasuk projek pembangunan The Asteriaz di Johor Bahru," kata RHB Research dalam nota hari ini.
Selain itu jelas firma berkenaan, lebih banyak projek kini berada pada fasa pertengahan hingga akhir kitaran pembinaan, sekali gus menyokong peningkatan pengiktirafan hasil kepada Binastra.
Kumpulan tersebut katanya, berada pada kedudukan kukuh dengan buku tempahan terkumpul sekitar RM7 bilion, yang disifatkan sebagai antara yang tertinggi dalam kalangan syarikat di bawah liputannya.
Nilai tersebut ujar RHB Research, adalah bersamaan dengan nisbah perlindungan hasil kepada buku tempahan kira-kira 7.4 kali ganda berdasarkan hasil dicatatkan syarikat berkenaan pada FY25.
"Sepanjang FY26, Binastra memperoleh kontrak baharu bernilai RM4.2 bilion, terdiri 10.6% projek pusat data (DC), 11.5% projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan 77.9% projek kediaman strata," katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan adalah sekitar 32% bagi tempoh FY25 hingga FY28, disokong oleh faktor buku tempahan yang teguh.
Menurut RHB Research, 30% hingga 35% daripada buku berkenaan kini berpunca daripada projek di Johor Bahru, dengan nilai kontrak sekitar RM2.5 bilion sudah diperoleh di kawasan tersebut.
Permintaan projek pembangunan hartanah Binastra di daerah berkenaan dijangka terus dipacu oleh pembangunan sistem transit pantas (RTS) Link, khususnya di sekitar stesen rel Bukit Chagar.
"Kami turut melihat potensi daripada projek pembangunan baharu oleh Exsim Development di atas tanah berkeluasan 2.4 hektar yang berhampiran New York Hotel di Johor Bahru," tambahnya lagi.
Projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.3 bilion itu berpotensi menjana nilai kontrak pembinaan kira-kira RM1 bilion kepada kumpulan pembinaan tersebut pada masa hadapan.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Binastra dengan harga sasaran (TP) RM2.72 sesaham, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 35%.
Jelas firma itu, saham syarikat kini diniagakan 12.8 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27, lebih rendah berbanding 16 kali PER ketika kitaran pertumbuhan sektor pembinaan pada 2017.
“Kami melihat diskaun harga saham itu sebagai tidak wajar memandangkan syarikat ketika ini sedang mempelbagaikan projeknya yang melangkaui projek pembangunan hartanah bukan kediaman,” katanya.
Bagaimanapun, RHB Research memberi amaran antara risiko utama kepada prospek Binastra ialah kemungkinan trend pengisian kontrak baharu yang lebih perlahan daripada jangkaan. - DagangNews.com








