KUALA LUMPUR 26 Mac - Binastra Corporation Berhad mampu mencatatkan pendapatan kukuh walaupun dilihat bertindak berani dengan menceburi projek hartanah bukan kediaman sebagai langkah strategik, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha terbaharu berkenaan selaras dengan pengembangan pelanggan utama syarikat yang dijangka dapat menyokong pendapatan kumpulan berkenaan untuk terus kekal teguh sepanjang tahun ini.
Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), Binastra diramal mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM90.2 juta, memenuhi sepenuhnya jangkaan firma itu dan sejajar dengan anggaran pasaran masing-masing pada 100 peratus dan 99 peratus.
"Kami mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun pendapatan (CAGR) tiga tahun (FY25 hingga FY28) sebanyak 132 peratus, sebahagian besar selari dengan jangkaan perkembangan buku pesanan," katanya dalam satu nota kajian.
Situasi tersebut kata RHB Research, disokong oleh usaha pengembangan pelanggan utama Binastra di luar Lembah Klang dan kepelbagaian aktiviti syarikat berkenaan kepada beberapa projek hartanah yang bukan kediaman.
Ketika ini ia terlibat dalam lima projek pembangunan bercampur yang dianugerahkan oleh tiga pelanggan utama di Lembah Klang iaitu EXSIM Development Sdn Bhd, Maxim Global Berhad dan Platinum Victory Development Sdn Bhd.
Ketiga-tiga pemain tersebut kata firma penyelidikan itu, mempunyai sekurang-kurangnya RM4 bilion projek dalam perancangan yang boleh diberi kepada Binastra dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Secara keseluruhan, RHB Reserach mengekalkan anggaran pendapatan syarikat berkenaan tetapi ia memperkenalkan pendapatan FY28, yang menggabungkan sasaran kemenangan kontrak hadapan dijangka sebanyak RM3 bilion.
Firma penyelidikan tersebut turut mengulangi saranan 'Beli' ke atas syarikat itu dan mengekalkan harga sasaran sebagai tidak berubah pada RM2.21 sesaham. - DagangNews.com








