KUALA LUMPUR 18 Mac – Binastra Corporation Berhad melalui anak syarikat miliknya, Binastra Builders Sdn Bhd meraih kontrak pembinaan bernilai RM316.5 juta daripada HCK Sentral Sdn Bhd bagi pelaksanaan fasa pertama projek pembangunan bercampur di Subang Jaya, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata fasa pertama pembangunan itu merangkumi penyempurnaan ruang bawah tanah, separa siap, podium parkir kereta, Menara A serta unit duplex sedia ada.
“Selain itu, kontrak ini juga melibatkan pembinaan dua menara baharu iaitu Tower G1 dan G2 beserta kawasan parkir kereta serta kerja infrastruktur berkaitan.
“Tempoh pelaksanaan kontrak dijangka mengambil masa 42 bulan, dengan tarikh mula yang akan ditentukan kemudian,” katanya dalam makluman tersebut.
Menurut syarikat, projek ini dijangka menjadi sumber pendapatan tambahan bagi kumpulan Binastra untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 hingga 2030.
Kewangan syarikat dijangka mendapat impak positif daripada kontrak ini, dengan sumbangan kepada keuntungan dan aset bersih sesaham bagi tempoh yang dinyatakan.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Lembaga pengarah Binastra berkata bahawa penerimaan kontrak ini adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan akan menyokong pertumbuhan kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com








