Bina Puri peroleh kontrak RM42.5 juta projek pembangunan di Limbang daripada Mexajati | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bina Puri peroleh kontrak RM42.5 juta projek pembangunan di Limbang daripada Mexajati

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 MacBina Puri Holdings Berhad memperoleh kontrak pembangunan terbaharu yang bernilai RM42.5 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembinaan di Daerah Limbang, Sarawak.


Syarikat pemaju tersebut berkata, anak syarikat milik penuhnya, Bina Puri Builder Sdn Bhd menerima surat penganugerahan (LOA) tender projek berkenaan daripada Mexajati Sdn Bhd pada 5 Mac 2026.


"Kumpulan ini dilantik sebagai kontraktor bagi melaksanakan, mengurus serta menyiapkan keseluruhan kerja projek itu, tidak termasuk elemen reka bentuk," maklum Bina Puri kepada Bursa Malaysia hari ini.


Menurutnya, tender itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan sesaham serta aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan, tertakluk tiada sebarang keadaan luar jangka.


Bagaimanapun jelas kumpulan berkenaan, penerimaan kontrak tersebut dijangka tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham dan pegangan saham para pemegang saham utama syarikat itu.


Bina Puri berkata projek itu merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan, dengan risiko utama tertumpu kepada masalah operasi seperti kelaziman dalam industri pembinaan.


"Kumpulan ini ada rekod kehadiran kukuh di Sarawak selepas menyiapkan beberapa mercu tanda sebelum ini termasuk Dewan Undangan Negeri Sarawak dan pusat beli-belah Plaza Merdeka Kuching," katanya.


Sehubungan itu, lembaga pengarah kumpulan tersebut berpandangan penerimaan kontrak berkenaan adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan kumpulannya. - DagangNews.com