KUALA LUMPUR 9 April – Pemulihan bekalan minyak global dijangka hanya berlaku menjelang suku ketiga 2026 (3Q26), dengan harga minyak mentah Brent diunjur berlegar pada purata AS$85 (RM338) setong.
Menurut BIMB Securities, perkembangan positif tersebut sekali gus mengukuhkan prospek syarikat-syarikat tempatan yang terlibat dalam sektor minyak dan gas (O&G) kerana harga berkenaan masih lagi tinggi.
Jelas firma itu, jangkaan tersebut mencerminkan pemulihan aliran pengeluaran dan eksport yang lebih perlahan daripada diramalkan, khususnya melibatkan laluan perairan kritikal seperti Selat Hormuz.
"Walaupun harga meningkat daripada AS$76 (RM302) setelah gencatan sementara antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, asas pasaran kekal rendah disebabkan penyusutan ketara inventori global," tambahnya.
Dalam nota analisisnya, BIMB Securities berkata, sistem bekalan masih berada dalam keadaan ketat secara struktur dan harga minyak penanda aras akan terus disokong oleh premium risiko geopolitik.
Firma penyelidikan tersebut turut menganggarkan inventori minyak dunia menyusut sebanyak 400 juta tong dalam tempoh perang 40 hari lalu, berdasarkan kadar pengurangan sekitar 10 juta tong setiap hari.

Situasi berkenaan ujarnya, menunjukkan masih berlaku ketidakseimbangan bekalan secara berterusan walaupun terdapat perkembangan positif dari sudut geopolitik di rantau Timur Tengah sejak semalam.
"Dalam keadaan harga tinggi, pengendali O&G dijangka memaksimumkan pengeluaran dengan ditangguhkan kerja penyelenggaraan tidak kritikal dan mengurangkan penutupan operasi," kata BIMB Securities.
Langkah ini jelas firma tersebut, bertujuan meningkatkan jumlah masa operasi bagi memanfaatkan senario harga jualan minyak mentah yang lebih tinggi di pasaran dan menampung permintaan besar pelanggan.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, ia mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor O&G tempatan memandangkan prospek harga minyak yang terus kukuh selepas melalui 40 hari konflik.
Antara pilihan utama BIMB Securities ialah MISC Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM9.80 sesaham, disokong pendapatan kumpulan tersebut yang stabil serta hasil dividen defensif.
"Di samping itu, kami turut menggemari Hibiscus Petroleum Berhad dengan unjuran TP RM2.65 sesaham, didorong pertumbuhan tinggi pengeluaran dan potensi kemasukan pelabur strategik baharu," katanya.
Secara keseluruhan, ia berpandangan sektor O&G tempatan kekal pada kedudukan kukuh sebagai antara segmen menarik dalam pasaran, dipacu kekangan stok dan harga minyak kekal tinggi. - DagangNews.com








