KUALA LUMPUR 19 Mei — Betamek Berhad menjalinkan kerjasama dengan sebuah firma berpangkalan di Singapura, SiGenex Global Holdings Pte Ltd untuk membangunkan reka bentuk pembuatan rumusan diagnostik dan penjujukan genomik bersepadu generasi akan datang yang pantas dan jimat kos.
Melalui usaha tersebut, kedua-dua syarikat akan meneroka rangka kerja dalam perundingan serta kerjasama untuk memanfaatkan maklumat, pengalaman, teknologi dan bantuan teknikal antara pihak-pihak berkaitan dalam bidang berkenaan meliputi sektor termaju seperti kecerdasan buatan (AI).
Ia juga mencerminkan cita-cita Malaysia lebih luas bagi mengukuhkan kepimpinan serantau dalam pembuatan pintar selaras dengan agenda digariskan kerajaan hasil perbincangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Jepun baru-baru ini.
"Kami melalui anak syarikat, Betamek Research Sdn Bhd (BRSB) memanfaatkan kepakaran kejuruteraan dan pembuatan elektroniknya menyokong reka bentuk pembuatan (DFM) serta pemasangan Platform Penjujukan Generasi Seterusnya Bersepadu Benchtop (NGS) milik SiGenex," katanya dalam kenyataan.
Pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) itu diadakan di Expo 2025 di Osaka, Kansai, Jepun hari ini antara Pengerusi Betamek, Ahmad Subri Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sigenex, Tanvir Rasab yang disaksikan CEO Institut Robotik Automotif dan Internet Benda (MARii), Azrul Reza Aziz.
Menerusi MoC tersebut, mereka bakal menggunakan teknologi Digital Microfluidics (DMF) termaju bagi penjujukan genomik berketepatan tinggi yang menjimatkan kos dengan kerjasama itu merangkumi aspek pembangunan protokol pembuatan, penubuhan kemudahan dan penyediaan kejuruteraan hujung ke hujung.
Selain itu, BRSB juga akan membantu penyediaan barisan pengeluaran khusus untuk kartrij sampel DMF dan komponen platform, manakala SiGenex menyumbangkan spesifikasi teknikal diperlukan, sokongan kejuruteraan dan strategi pengkomersialan global, termasuk ujian melalui hospital dan makmal.
Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, kerjasama terbaharu itu menandakan kejayaan kepelbagaian penting untuk Betamek kerana syarikat tersebut mampu menggunakan keupayaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka sendiri.
"Usaha ini melangkaui elektronik automotif ke dalam sektor bioteknologi bernilai tinggi selain menembusi Platform NGS SiGenex sejajar dengan visi strategik dan kami yakin perkongsian ini akan membuka banyak lagi peluang inovasi dan komersial baharu di seluruh rantau ASEAN," katanya.
Kedua-dua pihak itu kata beliau, turut terus berusaha ke arah Perjanjian Definitif dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan tujuan untuk memformalkan segala perkongsian pembuatan komersial secara jangka panjang.
Selain itu, kerjasama ini menyerlahkan keupayaan Betamek berkembang dalam domain teknologi baharu, menyokong matlamatnya untuk pertumbuhan jangka panjang melalui perkongsian yang diterajui inovasi sambil menyumbang kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan teknologi perubatan termaju di ASEAN,
BRSB turut memiliki Pusat R&D tercanggih di Rawang yang dirasmikan Tengku Zafrul pada Mac 2025 serta dilengkapi dengan telematik, mobiliti dan penyambungan untuk rumusan sensor termaju, selain berperanan penting memajukan keupayaan tempatan untuk teknologi automotif generasi akan datang. - DagangNews.com








