Malaysia, 1 Mei 2025. Hari ini sekali lagi dimulakan dengan poster patriotik: tangan menggenggam sepana, latar kilang berwarna jingga, muzik instrumental berkumandang untuk membangkitkan rasa bangga. Menteri berdiri di pentas membaca skrip yang hampir serupa setiap tahun.
“Pekerja ialah nadi pembangunan negara.”
Kata-kata itu disambut tepukan. Tetapi di luar dewan, mereka yang dimaksudkan tahu betapa sukarnya untuk membayar sewa walaupun telah menjadi ‘nadi’.
Pada 1 Mei mereka dihargai, namun keesokannya e-mel kerja diterima jam sepuluh malam, dan sistem tetap menuntut produktiviti tanpa peduli sama ada manusia itu sempat bernafas.

Ekonomi Tumbuh, Tetapi Poket Masih Kosong
Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 5.1 peratus dan kadar pengangguran menurun ke 3.1 peratus. Tenaga kerja kini mencecah 17 juta orang. Nampak meyakinkan jika hanya dibaca di atas kertas. Gaji median masih RM2,745. Kos hidup bujang di Lembah Klang mencecah RM4,389. Sebuah keluarga kecil memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan untuk bernafas dengan tenang.
Ramai pekerja tidak memerlukan analisis ekonomi untuk memahami bahawa pertumbuhan tidak semestinya bermaksud makanan cukup di meja.
Sesiapa yang pernah mencatu susu anak tahu, statistik boleh menggembirakan menteri tetapi tidak menyelamatkan perut yang lapar.
KPI Disusun Dari Atas, Beban Ditanggung Dari Bawah
Prestasi kerja tidak lagi dinilai melalui hasil, sebaliknya dinilai melalui tahap kesanggupan untuk tidak membantah. Mereka yang hadir mesyuarat pada malam minggu dianggap setia. Mereka yang mempertikai skop kerja baharu dilihat bermasalah.
Kenaikan RM80 sering kali datang bersama lima tanggungjawab baharu dan satu laporan tambahan. Istilah seperti agility dan synergy hanya menjadi kosmetik untuk menutup realiti: buat lebih, jangan tanya lebih.
Apabila suara pekerja timbul, respons organisasi bukan penyelesaian tetapi motivasi. Webinar bertajuk ‘How to Reclaim Your Purpose’ diiringi sijil digital dan senarai semak kehadiran HR.
Laman Sosial Dipenuhi Warna, Tetapi Pantry Tetap Sunyi
GLC terus memaparkan video penghargaan dengan tanda pagar #KitaAdalahKeluarga. Senyuman dimuat naik. Lagu latar sentimental disusun teliti. Di sebalik video itu, kontrak tiga pekerja tidak diperbaharui seminggu sebelum Aidilfitri.
Salah seorang daripadanya baru kehilangan bapa. Belum sempat selesai pengebumian, e-mel bertajuk “URGENT” diterima jam 8.14 pagi. Mereka tidak lagi disebut dalam carta organisasi, tetapi masih diperlukan untuk menyiapkan laporan akhir.
Banyak kali empati hanya hidup di dalam slaid PowerPoint, tetapi tidak dalam realiti tindakan.

Mereka Tidak Masuk Majlis Rasmi, Tetapi Masih Menyumbang
Pekerja e-hailing, rider penghantar makanan, juruteknik bebas – mereka tidak disenaraikan dalam statistik tenaga kerja formal. Tiada pelan insurans. Tiada caruman tetap.
Mereka juga tidak dijemput menyambut Hari Pekerja. Walaupun begitu, setiap hari mereka menyumbang kepada ekonomi.
Dalam laporan rasmi, mereka disebut fleksibel. Dalam realiti, mereka hidup dengan tidak pasti.
Poster Kesejahteraan Emosi Dicetak, Tetapi Bahu Tiada
NHMS 2023 melaporkan lebih sejuta rakyat mengalami kemurungan. Golongan pekerja berumur 25 hingga 40 tahun antara individu paling terkesan.
Negara hanya mempunyai 459 pakar psikiatri, sedangkan sasaran nasional adalah 720.
Laporan Naluri Health menunjukkan bahawa 66 peratus pekerja tidak mendapat akses kepada sokongan psikologi.
Ramai yang pernah menangis diam-diam di tandas pejabat sebelum kembali duduk seperti biasa. Hari mereka dimulakan dengan webinar bertajuk “Tenangkan Diri Anda”, dan diakhiri dengan mesej bertajuk “Submit It by tonight”.
Kepimpinan Tidak Semestinya Berada di Pentas
Masih wujud ketua jabatan yang tidak pernah diberi anugerah SDG atau muncul di pentas HR Excellence. Mereka tidak membuat hantaran di LinkedIn. Tetapi mereka sentiasa tahu bila seorang staf perlu berehat.
Ada pengurus yang berkata, “Pergilah. Yang lain saya uruskan.” Ada pengarah kanan yang membatalkan mesyuarat penting kerana seorang staf muda kehilangan anak.
Mereka tidak dirakam kamera. Tidak diberi anugerah. Tetapi merekalah wajah kepimpinan yang menyelamatkan manusia lain daripada kehilangan harga diri.
Tidak Minta Upacara, Cukup Sekadar Hormat
Pekerja tidak minta diraikan. Tidak perlukan kek. Tidak mengharapkan baju tema. Apa yang mereka mahu hanyalah dihormati. Diberi cuti apabila perlu. Dihubungi dengan hormat. Disapa dengan jujur.
Jika benar mereka kesuma bangsa, maka jangan jadikan mereka baris dalam fail Excel yang mudah dipadam.

Negara Tidak Bangkit Dengan Poster, Tetapi Dengan Tangan Yang Luka
Negara tidak dibina dengan indeks semata-mata. Negara dibina oleh mereka yang datang kerja walaupun dunia tidak memihak kepada mereka. Yang tetap hadir mesyuarat pagi walaupun tidur hanya dua jam. Yang masih senyum walaupun sudah hilang semangat.
Kesuma bangsa tidak minta dipuja. Mereka hanya mahu tidak dihina.
Dan jika Hari Pekerja ini mahu benar-benar bermakna, maka penghormatan itu perlu bermula dari meja pengurus, bukan dari mikrofon di pentas utama. - DagangNews.com








