Belanjawan 2026: Sektor pengguna, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui dijangka menjadi penerima manfaat utama - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: Sektor pengguna, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui dijangka menjadi penerima manfaat utama - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Okt – Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan menjelang pembentangan Belanjawan 2026, pasaran saham tempatan menunjukkan kecenderungan untuk bergerak positif, dengan tumpuan pelabur kini beralih kepada sektor pengguna, kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dijangka menjadi penerima manfaat utama.

 

Bank pelaburan itu berkata, analisis prestasi prabelanjawan sepanjang 10 tahun lalu menunjukkan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) kebiasaannya mengalami kenaikan pada minggu menjelang hari belanjawan, dengan sektor pengguna antara yang paling ketara mencatatkan prestasi kukuh.

 

"Sejak awal September, KLCI telah meningkat sebanyak 3.5%, manakala Indeks Sektor Pengguna (KLCSU) melonjak 5.4%.

 

"Saham-saham pilihan utama dalam sektor ini seperti Farm Fresh Bhd (FFB) dan Ecoshop telah menunjukkan prestasi kukuh, manakala Nestlé Malaysia (NESZ) turut disaran sebagai alternatif pelaburan berpotensi," kata bank itu dalam satu nota penyelidikan.

 

Belanjawan 2026 Dijangka Kukuhkan Aspirasi RMKe-13

Menurut Maybank IB,  Belanjawan 2026 akan terus menyokong matlamat yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk pelaksanaan cukai pro-kesihatan, serta pemerkasaan pembangunan industri dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Sektor penjagaan kesihatan pula dijangka menerima manfaat positif daripada inisiatif kerajaan, khususnya pengendali penjagaan kesihatan swasta yang tersenarai, seperti KPJ Healthcare (KPJ), yang telah menunjukkan peningkatan hasil menerusi pelancongan perubatan dan pengembangan kapasiti.

 

kpj
Sektor penjagaan kesihatan dijangka menerima manfaat positif daripada inisiatif kerajaan.

 

Bagaimanapun, pelabur perlu berwaspada terhadap kemungkinan pengenalan semula cukai dosa (sin taxes), yang kali terakhir dilaksanakan terhadap tembakau pada 2015, arak pada 2016, dan perjudian pada 2019. 

 

Ini boleh menjejaskan syarikat seperti Rothmans, Heineken Malaysia (HEIM), Carlsberg Brewery (CAB) dan Genting Malaysia (GENM).

 

Dalam masa yang sama, pengumuman mengenai pelaksanaan Cukai Karbon dijangka memberi rangsangan kepada sektor tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

Saham seperti Solarvest Holdings dan Bursa Malaysia, melalui aktiviti dalam Pasaran Karbon Sukarela (VCM), dijangka mendapat manfaat secara langsung.

 

Untuk syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP), Cukai Karbon dijangka bersifat neutral selagi butiran pelaksanaan penuh belum diumumkan.

 

tnb ana

 

Kerajaan turut dijangka memperkukuh pembangunan infrastruktur dan taman perindustrian, selari dengan naratif kitaran naik pelaburan (investment upcycle) yang sedang dibina. 

 

Ini dijangka memberi manfaat kepada sektor pembinaan (Gamuda, IJM), hartanah (EcoWorld, UEM Sunrise, Sime Darby Property) serta perladangan (Sime Darby Plantation, KLK, Genting Plantations), terutamanya di negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung.

 

Bagi Sabah dan Sarawak pula, projek infrastruktur baharu berpotensi memberikan impak positif kepada syarikat seperti Gamuda dan Cahya Mata Sarawak (CMS).

 

Digitalisasi dan Pelaburan Domestik Kekal Fokus Utama

Usaha kerajaan yang terus memberi tumpuan terhadap pendigitalan dijangka membantu syarikat perisian seperti ITMAX System dan Zetrix.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB berpendapat halangan pasaran yang selama ini membebani sentimen kini telah berlalu, termasuk isu tarif dan pelaksanaan subsidi bersasar RON95. Ini membuka ruang untuk pasaran meneruskan aliran kenaikan.

 

Sektor domestik kekal menjadi fokus, melibatkan sektor pengguna, pembinaan, penjagaan kesihatan, REIT dan tenaga boleh diperbaharui. Sektor perbankan pula dinilai secara neutral buat masa ini.

 

Sasaran KLCI: Potensi Cecah 1,760

Dengan sasaran akhir tahun KLCI pada 1,660 berdasarkan nisbah PE 15x anggaran pendapatan 2026, indeks kini berada semakin hampir ke sasaran, setelah ditutup pada 1,635 baru-baru ini. 

 

Sekiranya saham-saham besar seperti bank dan saham tertinggal seperti Tenaga Nasional dapat mengalami rerating dalam tempoh akan datang, senario optimis menyasarkan KLCI boleh mencecah 1,760 (16x PE).

 

Saham-saham utama yang dikekalkan dalam senarai pilihan belian (top BUYs) adalah Hong Leong Bank (HLB), Tenaga Nasional (TNB), Gamuda (GAM), Sime Darby Plantation (SDG), Westports (WPRTS), KPJ Healthcare (KPJ), Farm Fresh (FCRB), Solarvest (SOLAR) dan Nestlé Malaysia (NESZ) – disaran sebagai penerima manfaat utama daripada bantuan tunai SARA yang bakal memberi impak langsung kepada jualan pengguna harian. - DagangNews.com