KUALA LUMPUR 6 Ogos – XOX Technology Bhd telah melantik Mohd Effendi Mat Aris sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, menggantikan Azril Aliuddin yang telah meletakkan jawatan pada 15 Mei 2024.
Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat teknologi itu berkata, Mohd Effendi merupakan seorang profesional berpengalaman dengan kerjaya cemerlang melebihi dua dekad merentasi sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan.
Jawatan terakhir beliau ialah Timbalan Ketua Bahagian Risikan, Bahagian Operasi Bersepadu di Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Beliau memainkan peranan penting dalam menyelaras operasi risikan, usaha penguatkuasaan antara agensi serta penempatan strategik dalam kerangka nasional Anti-Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT),” katanya.
XOX Technology turut memaklumkan bahawa latar belakang profesional Mohd Effendi merangkumi pelbagai peranan kepimpinan termasuk sebagai Ketua Pegawai Kewangan di My Teakwood Holding Sdn Bhd, Ketua Unit Forensik Kewangan di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Pengarah Agensi di Etiqa Takaful Bhd serta penganalisis kewangan serantau bersama Kumpulan Jardines.
“Kerjaya beliau mencerminkan asas kukuh dalam tadbir urus kewangan, pematuhan peraturan dan kerjasama rentas sempadan,” tambah syarikat itu. - DagangNews.com








