KUALA LUMPUR 24 Mac – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) mengumumkan peralihan kepimpinan yang dirancang apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe bersara pada 30 September 2026 selepas berkhidmat dengan kumpulan untuk tempoh yang panjang dan cemerlang.
Bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan memacu pertumbuhan seterusnya, Lembaga Pengarah F&N melantik Tarang Gupta sebagai bakal CEO baharu yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026. Beliau akan mengambil alih jawatan CEO pada 1 Oktober 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, F&N berkata Tarang Gupta mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam sektor barangan pengguna dan mempunyai rekod cemerlang dalam memimpin pertumbuhan dan transformasi di Asia dan Afrika.
“Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan yang melibatkan tanggungjawab menyeluruh bagi prestasi komersial, operasi dan pembangunan kapasiti.
“Pengalaman kepimpinan Tarang merangkumi pelbagai kategori pengguna termasuk produk tenusu dan nutrisi. Beliau turut berpengalaman dalam pengembangan pasaran, pengukuhan disiplin pelaksanaan serta pembinaan platform rantaian bekalan yang kukuh.
“Beliau sebelum ini mengetuai perniagaan Royal FrieslandCampina di Filipina melalui anak syarikatnya, Alaska Milk Corporation. Beliau juga pernah menjadi Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad di Malaysia dan Singapura,” katanya.
Lim Yew Hoe akan terus mengetuai kumpulan F&N sepanjang tempoh peralihan dan bekerjasama rapat dengan Tarang Gupta untuk memastikan penyerahan tanggungjawab berjalan lancar dan teratur.
Pengerusi Lembaga Pengarah F&N, YAM Tengku Syed Badarudin Jamalullail, memberi penghargaan atas kepimpinan Lim yang telah mengukuhkan kedudukan pasaran, meningkatkan disiplin operasi dan memperkukuh daya tahan perniagaan kumpulan F&N.
Di bawah kepimpinan Lim, F&N telah memberi fokus strategik dan melabur dalam pembangunan kapasiti, termasuk memajukan platform pembangunan tenusu bersepadu untuk memperkukuh ketahanan bekalan dan menyokong pembangunan industri tenusu di Malaysia.
Lim pula menyatakan penghargaan terhadap sokongan Lembaga Pengarah, pekerja, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan sepanjang tempoh perkhidmatannya dan yakin F&N berada pada kedudukan baik untuk fasa pembangunan seterusnya.
Tarang Gupta ketika mengulas pelantikannya berkata beliau berbesar hati diberi kepercayaan untuk memimpin F&N dan bersemangat untuk membina asas kukuh syarikat bagi memacu pertumbuhan secara mampan.
F&N adalah syarikat berdaftar di Malaysia, patuh Syariah dan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dengan perolehan tahunan lebih RM5 bilion. Kumpulan ini mempunyai portfolio jenama minuman dan tenusu popular serta menggajikan kira-kira 4,000 pekerja di Malaysia, Brunei, Thailand dan Indochina. - DagangNews.com








