KUALA LUMPUR 10 Mac – Farm Fresh Bhd melantik bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Quaza Nizamuddin A Hassan Nizam sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 9 Mac 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Farm Fresh berkata beliau akan memegang jawatan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif.
Berdasarkan laporan tahunan Farm Fresh 2025, Quaza, 69, mula dilantik ke Lembaga Pengarah pada September 2021.
Beliau memiliki pengalaman lebih 37 tahun dalam bidang perubatan veterinar dan pengeluaran ternakan.
Quaza memulakan kerjaya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia sebagai pegawai veterinar di Negeri Sembilan dari 1984 hingga 1989, sebelum dinaikkan pangkat sehingga menjadi Ketua Pengarah pada 2017 sehingga bersara pada 2020.
Kini, beliau juga berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Taylor’s University Malaysia dan sebagai Pengarah Majlis Ekuestrian Malaysia.
Beliau turut memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat swasta.
Pelantikan itu adalah untuk menggantikan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas yang meninggal dunia akibat kanser pada Disember tahun lalu. - DagangNews.com








