KUALA LUMPUR 20 Dis - Pestech International Bhd melepaskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pestech Technology Sdn Bhd Paismanathan Govindasamy daripada tugasnya dan melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar sebagai Pengerusi baharunya, berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Pestech International yang baharu dilantik, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan strategik tersebut menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam mengukuhkan kepimpinan dan tadbir urus syarikat sambal meneruskan komitmennya dalam memacu kecemerlangan operasi dalam pelaksanaan projeknya.
Paismanathan dibebaskan daripada semua tugasan eksekutifnya seperti berurusan dengan pelanggan dan pihak berkepentingan lain mengenai hal ehwal operasi. Sementara itu, Yeoh Jit Shiong dilantik sebagai pemangku CEO berkuat kuasa serta-merta.
"Peralihan ini mencerminkan dedikasi lembaga untuk menyelaraskan struktur kepimpinan syarikat dengan objektif jangka panjangnya," kata Zuki dalam satu kenyataan.
Shahril ialah peneraju cemerlang dengan pengalaman lebih 25 tahun merangkumi perbankan, pengangkutan, pembangunan infrastruktur dan tadbir urus korporat.
Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1995 di Maybank Bhd dan kemudiannya memegang peranan penting di PwC Malaysia, British American Tobacco dan Penerbangan Malaysia Bhd.
Beliau memainkan peranan penting dalam menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan berkhidmat sebagai ketua pegawai operasinya.
Kepimpinan Shahril termasuk berkhidmat sebagai pengarah urusan Prasarana Malaysia Bhd dan MRT Corp, di mana beliau menyelia pembangunan projek MRT Laluan 1 dan Laluan 2.
Beliau juga membawa pengalaman dalam kepimpinan korporat terutamanya pembangunan hartanah dan perkhidmatan teknologi.
Selain itu, Shahtil telah mempengerusikan UiTM Holdings dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi UTM Holdings.
Beliau juga merupakan ahli Exco dan pengerusi jawatankuasa pemasaran dan penajaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Selangor.
Zuki berkata latar belakang Shahril yang luas meletakkan beliau untuk membawa kepakaran strategik dan operasi kepada Pestech. - DagangNews.com








