KUALA LUMPUR 3 Dis – Industri perbankan negara bakal menawarkan diskaun ihsan kepada peminjam yang mahu membuat penyelesaian awal bagi perjanjian sewa beli kadar tetap sedia ada, susulan kelulusan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) oleh Dewan Negara semalam.
Dalam kenyataan bersama, Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) berkata langkah itu diambil bagi membantu pelanggan yang terjejas sebelum Akta Sewa Beli (Pindaan) (HPAA) berkuat kuasa.
Menurut mereka, diskaun tersebut akan diberikan untuk penyelesaian awal bagi kontrak sewa beli kadar tetap sedia ada, termasuk perjanjian yang menggunakan kaedah pengiraan Rule of 78.
“HPAA memansuhkan kadar rata dan Rule of 78 untuk pelanggan baharu, sekali gus mengubah cara pembiayaan sewa beli dikira. Bagi memastikan keadilan kepada pelanggan sedia ada, industri perbankan akan menyediakan diskaun ihsan ini,” jelas kenyataan itu.
Langkah tersebut, menurut bank-bank terlibat, mencerminkan komitmen industri dalam memberikan sokongan kepada pelanggan sepanjang proses peralihan ke kerangka baharu yang lebih berdaya saing.
Diskaun ini juga disifatkan sebagai inisiatif menyeluruh industri bagi memastikan pelanggan sedia ada menerima layanan setara dengan pelanggan baharu apabila HPAA dilaksanakan sepenuhnya.
Program berkenaan dijangka bermula seiring tarikh kuat kuasa HPAA pada suku pertama 2026.
Sementara itu, pelanggan yang memilih untuk meneruskan pembayaran mengikut jadual asal tidak akan terjejas oleh pengiraan Rule of 78, dan tidak perlu mengambil sebarang tindakan.
Persatuan berkenaan turut menggesa pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut supaya melayari laman web rasmi bank masing-masing, mengunjungi cawangan, atau menghubungi pusat khidmat pelanggan untuk panduan mengenai kelayakan serta proses permohonan diskaun ihsan.
Dalam pada itu, persatuan berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Bank Negara Malaysia atas kepimpinan dan kerjasama yang menyumbang kepada pembentukan kerangka sewa beli yang lebih adil dan mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kewangan negara. - DagangNews.com








