KUALA LUMPUR 9 Mei - Bank Rakyat menerbitkan sukuk wakalah nota jangka sederhana Islam (IMTN) RM1 bilion melalui syarikat tujuan khas (SPV) Imtiaz Sukuk II Bhd.
Terbitan itu dibuat melalui proses pembinaan buku pada 24 April 2025 di bawah program wakalah sukuk kanan sehingga RM10 bilion, yang telah diberi penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Bhd.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, terbitan itu dibuat dalam dua bahagian, merangkumi RM120 juta bagi tempoh lima tahun dan RM880 juta bagi tempoh tujuh tahun.
"Bank itu juga berjaya memperoleh permintaan yang tinggi untuk sukuk wakalah seniornya dengan nisbah bid-to-cover akhir 1.98 kali saiz terbitan akhir," katanya.
Hasil daripada sukuk wakalah senior yang diterbitkan akan digunakan untuk tujuan patuh syariah, termasuk keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan am, penyediaan pembiayaan dan tujuan korporat am yang lain.
Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai pengurus utama bersama bagi program sukuk wakalah. - DagangNews.com








