Bank Rakyat tambah lagi RM50 juta kepada program BRIEF-i | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Rakyat tambah lagi RM50 juta kepada program BRIEF-i

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb — Bank Rakyat memperuntukkan RM50 juta lagi untuk program Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i), dan menjadikan jumlah pembiayaan kepada RM100 juta berikutan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif tersebut.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, langkah itu mencerminkan komitmen bank tersebut yang berada di bawah bidang kuasa kementerian untuk memperkasakan usahawan tempatan terutama komuniti perniagaan India.
 

“Tambahan dana ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperteguhkan lagi usaha pembangunan sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat India yang berpotensi.
 

“Semoga usaha ini akan terus diperkasakan demi memastikan lebih ramai usahawan kaum ini dapat berkembang dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara kita,” katanya dalam satu majlis hari ini.
 

Mengulas lanjut Ramanan berkata, sejak diperkenalkan pada Jun 2024, program BRIEF-i telah meluluskan permohonan bantuan pembiayaan perniagaan sebanyak RM49 juta kepada sejumlah 512 orang usahawan komuniti India di seluruh negara.
 

Dalam memperkasakan inisiatif BRIEF-i, Ramanan berkata, mereka yang diluluskan boleh terus mendapatkan perkhidmatan perundingan halal daripada Bank Rakyat dan memudahkan proses permohonan sijil halal kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
 

Beliau berkata, inisiatif tersebut dijangka memberikan manfaat kepada lebih ramai usahawan yang ingin mengembangkan pasaran mereka melalui pensijilan halal, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi halal yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
 

“Kami memang tidak pernah memaksa sesiapa untuk mendapatkan sijil halal, tetapi ini boleh menjadi satu kelebihan kepada usahawan tersebut dan potensi perniagaan mereka nanti,” katanya. - DagangNews.com