Bank Negara kekalkan OPR pada 2.75%, ekonomi Malaysia terus kukuh disokong permintaan domestik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Negara kekalkan OPR pada 2.75%, ekonomi Malaysia terus kukuh disokong permintaan domestik

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Sept –  Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75%, selaras dengan prospek pertumbuhan ekonomi yang terus positif dan tekanan inflasi yang kekal terkawal.

 

Bank pusat itu berkata, petunjuk ekonomi semasa menunjukkan pengembangan berterusan dalam pertumbuhan global, didorong oleh perbelanjaan pengguna yang mampan dan aktiviti perniagaan yang dipercepatkan (front-loading). 

 

Penyelesaian rundingan perdagangan antarabangsa turut menyumbang kepada penyusutan ketidaktentuan global.

 

“Pertumbuhan global dijangka kekal disokong oleh pasaran buruh yang kukuh, dasar monetari yang kurang ketat serta rangsangan fiskal yang berterusan,” menurut BNM dalam satu kenyataan.

 

Namun begitu, BNM memberi amaran bahawa perkembangan dasar perdagangan — termasuk pelaksanaan tarif baharu dan pengurangan aktiviti front-loading — boleh mengekang pertumbuhan global. 

 

Risiko penurunan juga masih wujud, meskipun berkurangan, termasuk tarif produk tertentu yang lebih tinggi serta ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

 

“Ketidaktentuan ini boleh mengakibatkan turun naik yang lebih ketara dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi,” jelasnya. 

 

Sebaliknya, hasil rundingan perdagangan AS yang lebih baik serta dasar pertumbuhan ekonomi negara besar berpotensi menjadi pemangkin positif.

 

Sasaran Pertumbuhan Ekonomi 4 – 4.8% Tahun Ini

 

KL aero

 

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.4% bagi separuh pertama 2025, dipacu oleh aktiviti penggunaan dan pelaburan yang kukuh. BNM menjangkakan pertumbuhan keseluruhan bagi tahun ini berada dalam julat 4% hingga 4.8%.

 

Menuju tahun 2026, pertumbuhan dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan. Pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan gaji serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

 

Pengembangan pelaburan pula dijangka dipacu oleh kemajuan projek-projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, realisasi pelaburan yang telah diluluskan, serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan pelan induk nasional.

 

Walau bagaimanapun, prospek ini kekal tertakluk kepada ketidaktentuan luaran. Risiko penurunan termasuk kelembapan perdagangan global, sentimen pasaran yang lemah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Sebaliknya, permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik, serta pelancongan yang kukuh, boleh menyokong pertumbuhan eksport dan ekonomi negara.

 

Inflasi Kekal Sederhana

 

runcit

 

BNM memaklumkan bahawa inflasi utama dan teras masing-masing merekodkan purata 1.4% dan 1.9% bagi tujuh bulan pertama tahun ini.

 

“Inflasi dijangka kekal sederhana pada 2025 dan 2026, berikutan keadaan kos global yang terkawal dan trend penurunan harga komoditi,” jelas bank pusat itu.

 

Inflasi teras dijangka stabil dan menghampiri purata jangka panjang, mencerminkan pengembangan aktiviti ekonomi yang berterusan serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan. 

 

Kesan keseluruhan reformasi dasar domestik yang diumumkan atau akan dilaksanakan terhadap inflasi dijangka dapat dikawal.


Dasar Monetari Kekal Sesuai

 

Pada paras semasa 2.75%, MPC berpandangan bahawa pendirian dasar monetari adalah sesuai dan menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

 

“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai keseimbangan risiko terhadap unjuran pertumbuhan dan inflasi domestik,” kata BNM.  - DagangNews.com